Cameron Highlands: Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri buat keputusan - Utusan Malaysia

Cameron Highlands: Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri buat keputusan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN 26 Okt. – Pemberhentian pengeluaran permit atau kelulusan baharu bagi tujuan pembangunan di Cameron Highlands, dekat sini perlu dirujuk kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk memutuskannya.

WAN ROSDY
WAN ROSDY

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, selama ini majlis tersebut yang membuat keputusan untuk memberi kelulusan atau menolak sebarang cadangan projek pembangunan termasuk yang berkeluasan kurang 4.05 hektar di Cameron Highlands khasnya.

Sebelum itu, kata beliau, cadangan projek perlu dikemukakan kepada Bahagian Perancang Ekonomi Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri untuk penelitian oleh Jawatankuasa Teknikal yang terdiri daripada pelbagai jabatan termasuk Jabatan Alam Sekitar.

“Untuk mendapat kelulusan ini pun susah dengan melalui tapisan yang rapi oleh Jawatankuasa Teknikal. Setelah kelulusan, pemaju projek perlu memastikan segala syarat dan peraturan apatah lagi berkenaan kawasan sensitif seperti Cameron Highlands hendaklah dipatuhi.

“Sekiranya gagal, pelbagai tindakan boleh dikenakan oleh jabatan-jabatan yang berkenaan termasu denda, penggantungan kerja dan pembatalan projek berkenaan,” katanya di sini hari ini.

Ahkbar hari ini melaporkan kerajaan Pahang dan Perak diminta menghentikan pengeluaran permit baharu bagi penerokaan tanah untuk tujuan pembangunan serta pertanian di Cameron Highlands.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr. A. Xavier Jayakumar berkata, aktiviti penerokaan perlu dihentikan serta merta kerana kejadian tanah runtuh sering berlaku di kawasan tanah tinggi itu sejak kebelakangan ini.

Berhubung gejala penerokaan tanah secara haram di kawasan tanah tinggi itu, Wan Rosdy berkata, ia masih kekal seluas 2,258 hektar atau 3.2 peratus daripada seluruh daerah tersebut.

“Sungguhpun 2,258 hektar atau cuma 3.2 peratus daripada keluasan Cameron Highlands tetapi kerajaan negeri tetap bimbang terutama ekoran kesan buruk yang boleh diakibatkannya.

“Sebab itu kerajaan negeri terus berusaha untuk menangani dan mengatasi gejala ini termasuk bersama-sama kerajaan Persekutuan yang dijangka akan meneruskan kembali Op Gading,” katanya.

Dalam pada itu, di sebalik wujudnya gejala penerokaan tanah secara haram itu, beliau tetap berpuas hati tentang aspek guna tanah di kawasan tanah tinggi berkenaan yang masih pada kadar yang sewajarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN