JELEBU 22 Okt. – Calon Ketua PKR Cabang Jelebu hari ini membuat laporan polis meminta Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) parti itu mengumumkan keputusan penuh pengundian cabang berkenaan dalam pemilihan yang diadakan semalam.
Mohamed Zabidi Abdullah, 57, berkata, beliau diberitahu oleh ketua JPP di tempat pengundian cabang itu bahawa terdapat 315 undi yang belum dapat dikira dengan alasan masalah pelayan internet.
“Saya mohon pihak JPP mengira baki 315 undi tersebut.
“Kami akur keputuan sedia ada tetapi demi keadilan semua, kami mohon keputusan penuh pemilihan kali ini,” katanya selepas membuat laporan tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jelebu di sini.
Menurutnya, berdasarkan keputusan semasa, beliau memperoleh 178 undi manakala dua pesaing lain masing-masing menerima 175 undi dan 69 undi.
Jelasnya, pemilihan tersebut berlangsung di Dewan Orang Ramai Kampung Geylang dekat Pertang di sini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jelebu, Deputi Superintenden Kamarul Rizal Jenal mengesahkan polis telah menerima laporan tersebut. – UTUSAN ONLINE











