KOTA KINABALU –Dua ahli termasuk seorang calon Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kimanis pada pemilihan parti itu tahun ini direman selama enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes salah laku rasuah.
Perintah reman tersebut dikeluarkan oleh Majistret Afiq Agoes selepas menerima permohonan daripada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Kedua-dua suspek yang berusia 46 dan 47 tahun itu tiba di pekarangan Lokap Berpusat Kontinjen Sabah dekat sini pada pukul 11 pagi tadi dan beredar 30 minit kemudian.
Difahamkan, calon ketua cabang dan ahli parti politik terbabit ditangkap selepas pihak SPRM menerima maklumat bahawa suspek disyaki terlibat dalam cubaan memberi sogokan pada baru-baru ini.
Bagaimanapun, tujuan dan jumlah serta penerima suapan berkenaan masih dalam siasatan.
Terdahulu, kedua-dua lelaki berkenaan ditahan pihak SPRM di sekitar Kimanis pada pukul 8.40 malam tadi sebelum dibawa ke Pejabat SPRM Negeri Sabah dekat sini untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009. – K! ONLINE










