Calon Ketua Cabang Alor Gajah dakwa gambar disabotaj - Utusan Malaysia

Calon Ketua Cabang Alor Gajah dakwa gambar disabotaj

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH 20 Okt. – Calon Ketua PKR Cabang Alor Gajah, Datuk Muhammad Jailani Khamis mendakwa gambar profil beliau yang digunakan dalam sistem pengundian pemilihan parti itu hari ini telah disabotaj oleh pihak tertentu.

MUHAMMAD JAILANI KHAMIS
MUHAMMAD JAILANI KHAMIS 

Tanpa menamakan individu yang terlibat, Muhammad Jailani, 46, yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri mendakwa, gambar beliau itu dipercayai diambil kira-kira 10 tahun lalu dan memaparkan imejnya yang terlalu `buruk’ iaitu tanpa kaca mata, memakai baju T tanpa kolar dan rambut kusut-masai.

Beliau menyedari gambar profil itu dimuatkan dalam sistem e-voting yang digunakan pada pemilihan kali ini namun tidak dapat menunjukkan bukti tersebut kepada media kerana tidak dibenarkan mengambil gambar.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Mereka meletakkan foto saya yang paling buruk, macam budak jaga parking dalam sistem e-voting. Saya tidak tahu dari mana mereka memperolehi foto saya itu tapi saya yakin ia diambil lebih 10 tahun lalu.

“Saya mengesyaki ada pihak tertentu yang cuba mensabotaj gambar saya pada pemilihan kali ini kerana selaku calon Ketua Cabang, pengundi pasti akan memilih mereka yang mempunyai keterampilan yang baik,” katanya ketika ditemui pada proses pemilihan PKR peringkat Cabang Alor Gajah di Dewan Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelaras DUN (Japerun) Machap di Kampung Bukit Bulat dekat sini sebentar tadi.

Muhammad Jailani yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia kali pertama bertanding jawatan Ketua Cabang Alor Gajah yang menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara beliau dengan Pengerusi Jawatankuasa Wanita, Pembangunan Keluarga, Hal Ehwal Kebajikan dan Orang Asli negeri, Ginie Lim Siew Lin dan penyandang, Ahmad Abdul Wahid.

Menurutnya, apa yang berlaku tidak akan mematahkan semangatnya untuk terus berkhidmat dalam parti malah beliau menggariskan tiga perkara utama dalam manifestonya sekiranya dipilih iaitu menjaga kebajikan rakyat, pembangunan sahsiah penduduk serta pembangunan menyeluruh.

“Saya percaya kepada Allah dan saya tahu apa yang terjadi ini adalah sebahagian daripada perang psikologi namun Tuhan Maha Kaya dan apa yang dilakukan terhadap saya ini adalah mereka yang mempunyai niat tidak baik,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini