KOTA BHARU 27 Okt. – Cadangan untuk membuka pintu sempadan Malaysia-Thailand melalui negeri ini selama 24 jam sehari perlu dikaji dengan lebih teliti oleh kerajaan Persekutuan.
Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, banyak perkara perlu diperhalusi termasuk melihat kelengkapan fasiliti, kerjasama semua pihak terlibat serta manfaatnya kepada rakyat.
“Semakan perlu dibuat dahulu untuk melihat kesesuaian cadangan itu sebab kita melihat persiapan daripada segi sempadan dan laluan rasmi itu kalau asasnya sudah cukup memuaskan saya rasa tiada halangan.
“Kita juga perlu memastikan agar kedatangan rakyat dari negara luar benar-benar terkawal dan persoalannya selepas pukul 12 malam, ke mana mereka hendak pergi? Itu juga menjadi masalah,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan pelepasan 700 peserta yang menyertai
KB Fun Run 2018, di sini hari ini.
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad semasa lawatan kerja beliau selama dua hari ke Thailand baru-baru ini berkata, Malaysia dan negara tersebut bersetuju untuk membuka pintu sempadan 24 jam sehari bagi menggalakkan perdagangan antara kedua-dua negara.
Langkah itu termasuk membina dua jambatan merentasi Tak Bai di Pengkalan Kubor dan Sungai Golok di Rantau Panjang.
Mengulas lanjut, Ahmad yang juga Timbalan Mursyidul Am Pas berkata, cadangan itu juga perlu dikaji daripada konteks ekonomi sama ada memberi manfaat besar kepada negara ini.
“Daripada segi perniagaan mana yang lebih untung, sama ada barang dari Thailand masuk ke sini atau barang kita masuk ke sana dalam tempoh tersebut?
“Kalau keuntungan yang diperoleh lebih baik sudah tentu kita menyokong kerana ada kebaikan di situ atau sekurang-kurangnya ada persamaan, situasi menang-menang di antara kedua belah pihak,” jelasnya. -UTUSAN ONLINE










