Cacat penglihatan bukan penghalang genggam ijazah - Utusan Malaysia

Cacat penglihatan bukan penghalang genggam ijazah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANJUNG MALIM – Cacat penglihatan yang dialami sejak kecil bukan penghalang kepada Tan Jen Win, 25, untuk menjadi graduan cemerlang sehingga membolehkannya menerima Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL).

Lebih membanggakan, anak kelahiran Kuala Lipis, Pahang itu yang mengalami masalah rabun dekat, jauh dan silau yang teruk membuktikan kekurangan diri bukan penghalang dalam pendidikan dengan meraih keputusan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.60.

Ketika ditemui pemberita, Jen Win berkata, berbekal semangat tidak berputus asa dan menganggap kehidupan sebagai satu perjuangan, beliau gembira dengan kejayaannya mengharungi tempoh tiga tahun pengajian TESL meskipun terpaksa berdepan pelbagai rintangan termasuk mengubah corak pembelajaran berbanding pelajar biasa.

“Jika pelajar lain memberi perhatian semasa pensyarah menulis sesuatu di atas papan putih semasa di kuliah, saya pula hanya boleh mendengar apa yang pensyarah sebutkan dan terpaksa menyalin nota rakan-rakan selepas itu.

“Jadi saya berasa amat gembira kerana hari ini merupakan suatu kemenangan yang amat berharga dalam diri saya. Segala usaha dan penat jerih saya akhirnya membuahkan hasil,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Istiadat Konvokesyen Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sesi pertama kali ke-20 di sini hari ini.

Jen Win merupakan seorang daripada 606 orang graduan yang dianugerahkan ijazah dan diploma pada sesi pertama istiadat tersebut yang disempurnakan oleh Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim merangkap Canselor UPSI.

Menurut anak bongsu dari tiga beradik itu, ibu bapa serta dua kakaknya merupakan pendorong paling istimewa dalam apa yang dikecapinya hari ini kerana mereka memberi semangat dan sokongan kepadanya untuk meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Beliau turut meminta golongan orang kelainan upaya (OKU) sepertinya supaya berdikari dan usah segan dalam mencari pengalaman kerana kejayaan tidak datang sendiri.

“Jika diberi peluang, saya berharap selepas ini saya mahu menjadi pendidik dan mengajar di Sekolah Menengah Pendidikan Khas (cacat penglihatan) di Setapak kerana di situlah saya pernah praktikal dan mahu menyumbang bakti kepada golongan sasar itu,” katanya. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN