ALOR GAJAH 20 Okt. – PKR Cabang Alor Gajah mempunyai kekuatannya tersendiri kerana telah bertapak selama hampir 20 tahun sehingga ke peringkat akar umbi bagi membentuk barisan kepemimpinan serta ahli akar umbi yang menyokong parti itu bagi membela rakyat.

Calon Ketua Cabangnya, Ginie Lim Siew Lin berkata, kekuatan parti itu seharusnya menjadi kebanggaan dan barisan jawatankuasa yang ada ini akan akan bergerak bagi memastikan parti itu terus mendekati rakyat dan memenangi pilihan raya umum (PRU) akan datang.
“Dalam pemilihan Cabang Alor Gajah hari ini, kita ada dua Exco yang bertanding bersama seorang aktivis lama bagi mengisi jawatan ketua cabang. Ini menunjukkan cabang ini kuat daripada segi kepimpinan dan ahli di mana selama 20 tahun PKR telah sampai ke akar umbi.
“Walau apa pun keputusannya pasti akan ada yang menang dan ada yang kalah namun semua yang bertanding akan tetap berada dalam cabang dan kami semua akan menggunakan kekuatan ini untuk memenangkan parti pada PRU depan,” katanya katanya ketika ditemui pada proses pemilihan PKR peringkat Cabang Alor Gajah di Dewan Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelaras DUN (Japerun) Machap di Kampung Bukit Bulat dekat sini sebentar tadi.
Siew Lin yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Wanita, Pembangunan Keluarga, Hal Ehwal Kebajikan dan Orang Asli negeri kali pertama bertanding jawatan Ketua Cabang Alor Gajah yang menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara beliau dengan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis dan penyandang, Ahmad Abdul Wahid.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap Jaya turut bertanding jawatan Exco Wanita Pusat memaklumkan hasrat untuk meneruskan agenda memperkasakan wanita yang dibawa oleh bekas Ketua Wanita parti itu, Zuraida Kamaruddin.
“Antara usaha beliau (Zuraida) yang akan diteruskan adalah memastikan penglibatan 30 peratus wanita sebagai pembuat keputusan dan kita juga akan memastikan wanita terus bersama dalam pembangunan sosio ekonomi negara,” katanya. – UTUSAN ONLINE










