Buruh kasar maut dilanggar lori, diseret sejauh dua meter  - Utusan Malaysia

Buruh kasar maut dilanggar lori, diseret sejauh dua meter 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAWAU – Seorang buruh kasar yang sedang melakukan proses penggredan kelapa sawit maut dipercayai dilanggar sebuah lori sebelum diseret kira-kira dua meter di kawasan pemunggahan kilang sawit di sini semalam.

Dalam kejadian lebih kurang pukul 1.30 petang itu, mangsa, Alimudi Laego berusia 39 tahun maut akibat parah pada bahagian perut manakala pemandu lori, 54, pula dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, hasil siasatan awal mendapati sebelum insiden mangsa berada di lokasi kejadian bagi menjalankan proses penggredan kelapa sawit.

“Bagaimanapun, semasa melakukan proses berkenaan suspek dikatakan mengundurkan lori untuk memunggah kelapa sawit tanpa menyedari keberadaan lelaki itu berhampiran timbunan buah sawit.

“Akibatnya, mangsa telah terkena bucu lori kiri di bahagian belakang lalu terjatuh dan diseret sejauh dua meter dari kawasan pemunggahan kelapa sawit,” katanya hari ini.

Tambah Fadil, seorang saksi kejadian yang berada di atas sebuah jentolak bertindak membunyikan hon bagi memberi amaran namun, tidak didengari pemandu lori.

Mangsa seterusnya dihantar ke Klinik Balung dekat sini oleh rakan sekerjanya untuk rawatan tetapi, disahkan meninggal dunia ketika tiba di klinik itu.

Menurut Fadil, hasil siasatan awal mendapati punca kemalangan disebabkan kecuaian pemandu lori sehingga berlakunya kemalangan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN