Buruh dijel, mengaku miliki gambar, video berkaitan Daesh - Utusan Malaysia

Buruh dijel, mengaku miliki gambar, video berkaitan Daesh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 17 Okt. – Seorang buruh binaan warga Indonesia dihukum penjara 18 bulan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas pertuduhan memiliki lima keping gambar dan sembilan video berkaitan kumpulan pengganas Daesh dalam telefon bimbitnya, Januari lalu.

Hakim Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali menjatuhkan hukuman tersebut selepas Mohd. Al-Arshy Mus Budiono, 24, menukar pengakuan kepada bersalah ketika prosiding sebutan kes tersebut.

Hakim Mohd. Nazlan dalam keputusannya berkata, perbuatan yang dilakukan tertuduh merupakan satu kesalahan yang serius dan sekiranya tidak dibendung boleh mengancam keselamatan negara, menggugat sistem demokrasi berparlimen dan membahayakan masa depan rakyat serta generasi akan datang.

“Diharapkan tertuduh sedar dan berhati-hati serta tidak melanggar undang-undang negara ini dan terjebak dengan kegiatan keganasan,” katanya yang memerintahkan hukuman penjara itu berkuat kuasa dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 17 Januari lalu.

Mengikut pertuduhan, Mohd. Al-Arshy yang berasal dari Jawa Timur didakwa memiliki lima keping gambar dan sembilan rakaman video yang mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas Daesh dalam telefon bimbit miliknya.

Anak sulung daripada lima adik-beradik itu didakwa melakukan perbuatan itu di Restoran Klasik Hijau, Jalan Awan Hijau, Taman Overseas Union, Brickfields di sini pada pukul 3 petang, 17 Januari lalu.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Munirah Shamsudin@Baharum mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan boleh dilucutkan hak ke atas barangan itu.

Terdahulu, peguam Zaini Bakar yang mewakili tertuduh memohon hukuman ringan dengan alasan foto dan video yang terdapat dalam simpanan anak guamnya itu hanya untuk kegunaan peribadi dan bukan disebarkan bagi mempromosikan ideologi Daesh.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran dan amaran kepada orang awam agar tidak melakukan kesalahan sama.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh telah ditahan di sebuah restoran dan hasil pemeriksaan pihak polis menjumpai sembilan rakaman video dan lima keping gambar berkaitan kumpulan pengganas Daesh di dalam telefon bimbit miliknya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN