Buruh binaan warga Indonesia terlepas hukuman gantung - Utusan Malaysia

Buruh binaan warga Indonesia terlepas hukuman gantung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM – Seorang buruh binaan terlepas hukuman gantung setelah Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepas dan membebaskannya daripada tuduhan membunuh seorang lelaki warga Bangladesh berusia 28 tahun, Mei tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datin Zalita Zaidan memutuskan demikian terhadap Suri, 41, yang juga warga Indonesia, selepas pihak pendakwaan didapati gagal membuktikan kes prima facie.

Zalita berkata, pihak pendakwaan juga gagal memanggil saksi penting dalam kes berkenaan sekali gus menyebabkan subjudis kepada tertuduh.

Mengikut pertuduhan, lelaki berasal dari Madura, Indonesia bersama seorang lagi yang masih bebas didakwa membunuh Mohamad Ali Ashraf di sebuah tapak pembinaan Depo Bas Rapid Kuala Lumpur, Jalan Perusahaan 2, Kawasan Perindustrian Batu Caves, Gombak dekat sini.

Perbuatan tersebut dilakukan pada 11 Mei 2017 kira-kira pukul 11.45 pagi.

Pertuduhan tersebut dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Devinderjit Kaur Gill manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd. Irwan Sumadi.

Sepanjang perbicaraan di peringkat pendakwaan, seramai 10 saksi dipanggil memberi keterangan.

Sementara itu, sejurus prosiding mahkamah selesai, Suri kemudiannya ditahan oleh pihak Jabatan Imigresen kerana tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah.

Menurut Mohd. Irwan, pihak pendakwaan mempunyai tempoh 14 hari untuk merayu dan jika tidak tertuduh akan dihantar pulang ke negara asalnya. – K! ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN