Bursa tempatan terus lemah - Utusan Malaysia

Bursa tempatan terus lemah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 25 Okt. – Pasaran saham tempatan terus menyaksikan mo­men­tum yang lemah setelah jatuh di bawah paras 1,700 mata pada petang Selasa susulan ketidaktentuan dalam pasaran ekuiti global.

Bursa Malaysia petang ini ditutup lebih rendah setelah susut 3.45 mata kepada 1,686.69 mata yang menyaksikan 768 kaunter rugi, 173 kaunter untung dan 333 kaunter tidak berubah. Pada Selasa, pasaran tempatan jatuh 24.87 mata kepada 1,697.60 mata.

Di pasaran global, Wall Street, S&P 500 jatuh 3.09 peratus kepada 2,656.10 mata manakala Indeks Komposit Nasdaq susut 4.43 peratus kepada 7,108.40 mata dan Dow Jones Industrial Average turut susut 2.41 peratus kepada 24,583.42 mata.

Situasi itu menyaksikan saham-saham berkaitan teknologi dan semikonduktor terus menyusut seiring dengan kelemahan prestasi bursa tempatan. Petang ini, ketika pasaran ditutup, Malaysian Pacific Industries Bhd. mendahului kaunter rugi apabila jatuh 8.65 peratus atau RM1.08 kepada RM11.40 sesaham manakala KESM Industries Bhd. susut 5.46 peratus atau 60 sen kepada RM10.38 sesaham.

Kaunter berkaitan termasuk Pentamaster Corp. Bhd. susut 8.48 peratus atau 29 sen kepada RM3.13 sesaham diikuti Vitrox Corporation Bhd. susut 2.6 peratus atau 20 sen kepada RM7.48 sesaham; Elsoft Research Bhd. susut 1.92 peratus atau enam sen kepada RM3.07 sesaham dan Ina­ri Amertron Bhd. jatuh 5.85 peratus atau 12 sen kepada RM1.93 sesaham.

Saham CIMB Group Holdings Bhd. terus berdepan tekanan apabila mencatat penyusutan 2.1 peratus atau 12 sen kepada RM5.58 sesaham; Genting Berhad susut 2.43 peratus atau 18 sen kepada RM7.22 sesaham manakala Petronas Chemicals Group Bhd. susut 0.96 peratus atau sembilan sen kepada RM9.25 sesaham dan IHH Healthcare Bhd. turut susut 1.43 peratus atau tujuh sen kepada RM4.81 sesaham.

Bagaimanapun, beberapa saham di Bursa Malaysia, kembali menunjukkan pretasi yang baik dengan Axiata Bhd. meningkat 3.3 peratus atau 11 sen kepada RM3.44 sesaham; KLCC Property REIT meningkat 1.59 peratus atau 12 sen kepada RM7.66 sesaham; MI Equipment Holdings Bhd. meningkat 3.42 peratus atau lapan sen kepada RM2.42 sesaham dan MISC Group. meningkat 3.74 peratus atau 22 sen kepada RM6.10 sesaham.

Keputusan kerajaan untuk membatalkan empat projek pen­jana kuasa bebas (IPP) dalam masa sama turut memberi kesan kepada prestasi saham Malakoff Corporation Bhd. apabila jatuh 4.65 peratus atau empat sen kepada 82 sen sesaham. Namun, saham Tenaga Nasional Berhad terus mengukuh dengan me­ning­kat 0.72 peratus atau 10 sen kepada RM14 sesaham.

Bagi prestasi ringgit pula, petang ini mata wang itu ditutup lebih rendah pada paras RM4.17 berbanding dolar AS. Semalam ringgit ditutup pada RM4.1620.

Pengarah Urusan FX Strategy BK Asset Management, Kathy Lien berkata, jualan semasa da­lam pasaran saham global akan ber­terusan dalam beberapa minggu lagi dan Asia kemungkinan lebih terjejas berbanding Amerika Syarikat (AS) dengan mengambil kira prospek ekonomi serantau yang lemah.

“Ini kerana kadar faedah AS meningkat di sebalik persekitaran yang mencatat peningkatan pertumbuhan. Tetapi di Asia, sesetengah negara menaikkan kadar ini dalam ‘keadaan keperluan yang mendesak’ bagi melindungi mata wang masing-masing berbanding pengukuhan dolar AS,” katanya kepada CNBC hari ini.

Menurut Penganalisis Penyelidikan FXTM, Lukman Otunuga, pasaran ekuiti global terus berada di bawah tekanan yang sengit kerana banyak perbezaan risiko yang menggalakkan pelabur menjauhi pasaran saham.

Katanya, faktor geopolitik, politik, ketegangan perang dagangan, kebimbangan bajet Itali dan pertumbuhan global menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pelabur.

“Pasaran saham Asia, Eropah dan AS akan mengalami peningkatan jualan walaupun volum dalam tekanan pasaran di AS adalah lemah ketika ini,” katanya.

Sementara itu, Maybank IB Research berkata, keuntungan besar dalam pasaran China gagal merangsang ekuiti AS selepas jatuh di tengah-tengah saham kewangan dan komoditi yang lebih rendah.

“Dari segi pasaran domestik pula, kami menjangkakan sekali lagi pusingan jualan terutama bagi pasaran modal yang besar,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN