‘Bukan perlumbaan terbaik saya’ - Utusan Malaysia

‘Bukan perlumbaan terbaik saya’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PRESTASI pelumba negara yang beraksi pada Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) bagi kategori Moto3, Adam Norrodin wajar dipuji selepas menamatkan perlumbaan Grand Prix (GP) Australia di Litar Phillip Island di tempat ketujuh semalam.

Meskipun memulakan perlumbaan di petak ke-13, pelumba kelahiran Muar, Johor itu tidak mudah berputus asa apabila berusaha mengejar kelompok depan sebelum memastikan sembilan mata menjadi miliknya apabila meraih kedudukan ketujuh.

Bagaimanapun Adam me­negaskan, keputusan itu hanya di­sebabkan tuah semata-mata ke­rana dia menyifatkan presta­sinya semalam bukan yang terbaik, lebih-lebih lagi dia merasakan kurang selesa dengan jentera.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Perlumbaan hari ini (semalam) sangat gila, anda semua boleh lihat sendiri. Semua pelumba langsung tidak mempedulikan keadaan sekeliling, apa yang menjadi fokus utama adalah untuk memenangi perlumbaan.

“Banyak insiden pelumba terjatuh hari ini (semalam), jadi saya anggap ianya sebagai tuah. Secara jujur, saya kurang gembira dengan prestasi sendiri terutamanya rasa ada kurang sesuatu pada jentera,” kata Adam.

Justeru, Adam sedia memperbaiki mana-mana kelemahan yang ada sebelum pulang ke tanah air bagi mengharungi GP Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hujung minggu ini.

“Saya akui tidak bagus di Phillip Island, jadi sekarang saya akan alihkan fokus kepada perlumbaan seterusnya.

“Saya harap mampu tampilkan tunggangan lebih baik di sana nanti,” ujarnya.

Sementara itu, nasib berbeza menimpa pelumba MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah apabila gagal menamatkan perlumbaan selepas terjatuh pada pusingan ke-19 ketika berada di kedudukan kelapan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini