'Bukan minta sedekah' - Utusan Malaysia

‘Bukan minta sedekah’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 24 Okt. – Kerajaan Persekutuan ber­tanggungjawab menye­dia­kan bantuan kewa­ngan kepada kerajaan negeri Kelantan, selaras dengan semangat federalisme.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika membuat penegasan itu turut menyatakan, tindakan kerajaan negeri Kelantan meminta kerajaan Persekutuan mengembalikan kutipan cukai dan hasil negeri tidak sepatutnya disamakan dengan perbuatan meminta sedekah.

Seperti yang dijelaskan beliau, rakyat Kelantan juga membayar pelbagai cukai termasuk kenderaan, pakaian, makanan dan semua hasil tersebut dikutip oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

“Kelantan ada hasil bumi yang kerajaan Pusat ambil. Jadi, itulah kewajipan kerajaan Pusat untuk bayar balik kepada ne­geri.

“Itu tanggungjawab (kerajaan Pusat), kita bukan minta sedekah,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Abdul Hadi mengulas tentang kenyataan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng hari ini yang mendedahkan kerajaan negeri Kelantan meminta bantuan kerajaan Persekutuan untuk membayar gaji kakitangannya.

Ahli Parlimen Marang itu turut berharap agar kerajaan Pakatan Harapan (PH) melaksanakan tanggungjawabnya membayar royalti gas dan petroleum kepada Kelantan.

“Bukan sahaja Terengganu, Sabah dan Sarawak. Jangan bayar kepada Sabah dan Sarawak sahaja, sedangkan Pantai Timur tidak diberi,” katanya.

Terdahulu, Abdul Hadi ketika membahaskan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) dalam sidang Dewan Rakyat menyatakan penghargaan kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad kerana memberi jaminan akan memberi semula royalti kepada kerajaan negeri.

“Kita harap juga kerenah birokrasi khusus oleh Kementerian Kewangan dapat diatasi supaya royalti Kelantan dan Terengganu tidak dilambat-lambatkan,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN