BUTTERWORTH – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bersiap siaga bagi menghadapi banjir bermula bulan depan berikutan ketibaan musim monsun timur laut.
Ketua Pengarahnya, Mohammad Hamdan Wahid berkata, kesiapsiagaan JBPM bagi menghadapi banjir dibahagikan kepada tiga peringkat iaitu dari segi logistik, keanggotaan dan aspek respons.
“Persiapan menghadapi banjir ini kami lakukan mengikut cuaca semasa sejajar dengan kehendak kerajaan menerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) yang mana telah membuat pelbagai kesiapsiagaan di pelbagai peringkat.
“Selain itu, pihak JBPM juga telah bersiap sedia lebih awal kerana berdasarkan maklumat yang diterima, monsun timur laut kali ini mungkin berlarutan pada hujung tahun hingga awal tahun depan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Keselamatan dan Pencegahan Kebakaran sempena sambutan Hari Inovasi JBPM di sini hari ini.
Katanya, pihaknya juga telah mengeluarkan arahan pembekuan cuti terhadap 10,000 pegawai dan anggotanya mengikut keperluan sebagai persiapan menghadapi bencana alam seperti banjir. – Bernama










