MALAM Rabu lalu, seluruh rakyat Malaysia tersentak dengan berita duka pemergian enam anggota bomba yang terkorban ketika melakukan operasi mencari dan menyelamat seorang remaja lelaki yang dilaporkan terjatuh ke dalam sebuah lombong di Taman Putra Perdana, Puchong, Selangor.
Jika orang ramai turut diselubungi pilu dengan kehilangan enam anggota bomba itu, apatah lagi pula buat penyanyi muda, Syafiq Farhain yang sehingga kini masih bergelar anggota bomba di Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di Putrajaya. Lebih mencarik jiwa, salah seorang mangsa yang terkorban merupakan kenalan rapatnya.
“Ketika menerima berita tragedi itu kebetulannya saya sedang menjalani penggambaran filem Hero The Movie, filem tentang anggota bomba. Mulanya saya tidak percaya, tetapi selepas meneliti berita tersebut saya terlihat gambar salah seorang kenalan saya. Saya amat terkejut dan sangat sedih,” katanya kepada Kosmo!
Menambahkan lagi kesedihannya selaku anggota bomba adalah kritikan dan komen negatif netizen di internet berhubung tragedi tersebut. Biarpun tidak memahami tugas dan prosedur anggota bomba, tetapi kata-kata yang diluahkan oleh netizen seolah-olah tidak menjaga sensitiviti unit beruniform tersebut.
“Dalam kita semua sedang bersedih ada juga netizen yang memberi kritikan dan komen tanpa menjaga sensitiviti anggota dan keluarga bomba. Di sini ingin saya tegaskan, semua anggota bomba bertugas harus mengikut prosedur yang telah ditetapkan. Saya tahu masyarakat saya tidak sepenuhnya tahu tentang tugas kami.
“Mana-mana kelemahan, risiko dan kemalangan yang berlaku adalah luar jangkaan. Sebagai bomba, kalau boleh kami tidak mahu tragedi seperti ini berlaku dan semuanya terjadi kerana kehendak Allah. Saya tidak boleh beri komen berlebihan tentang perkara ini, cuma ingin pesan kepada netizen agar berhemah sebelum memberi komen atau meluahkan kata-kata di laman sosial,” ujar Syafiq.
Sungguhpun kerjaya sebagai anggota bomba amat mencabar, Syafiq tidak pernah terfikir untuk meletak jawatan. Malah tragedi sebegitu tidak langsung mematahkan semangatnya untuk terus berjuang membantu rakyat Malaysia pada saat memerlukan.
“Takziah diucapkan kepada keluarga mangsa. Kita sama-sama doakan mereka dan buat rakan setugas kalau boleh terus berjuang dan jangan putus semangat demi masyarakat,” kata Syafiq lagi.
Berbicara tentang kerjayanya sebagai anggota bomba, Syafiq yang semakin popular selepas bergelar naib juara program Big Stage tidak pernah terfikir untuk bersara. Malah baginya kerjaya sebagai bomba cukup mulia dan medan mengumpul pahala kerana dapat membantu masyarakat yang sedang dalam kesusahan.
“Biarpun tawaran nyanyian dan lakonan semakin banyak, saya tidak pernah terfikir untuk bersara. Malah ketika menyertai program Big Stage saya mengambil cuti dua bulan. Sehari selepas tamat Big Stage, saya terus memasuki set penggambaran filem Hero The Movie, sebuah filem tentang komitmen bomba. Itu dikira sedang bertugas kerana filem berkenaan ada kerjasama dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia,” katanya yang turut menyanyikan runut bunyi filem berkenaan.
Tambahnya, setakat ini kerjaya seni tidak mengganggu tugas hakikinya sebagai anggota bomba kerana biasanya dia hanya mengambil undangan nyanyian pada hujung minggu dan waktu malam.
“Setakat ini saya boleh mengimbangkan kerjaya seni dan bomba. Tidak ada sebarang masalah kerana saya hanya mengambil tawaran pada hujung minggu dan waktu malam selepas selesai kerja. Jadi, tidak ada sebab untuk saya berhenti sebagai anggota bomba kerana menyukai kedua-dua bidang,” luahnya.
Impak
Syafiq juga tidak menyangka percaturannya untuk menyertai program Big Stage telah membawa tuah. Meskipun sekadar menjadi naib juara, namun penyertaannya dalam program realiti itu telah membuka mata banyak pihak terhadap bakatnya.
Persembahan yang sering mendapat pujian juri tetap Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Faizal Tahir membuktikan Syafiq bukan sekadar penyanyi tular bermusim atau menumpang populariti bapanya, penyanyi legenda Saleem. Sebaliknya, pemuda berusia 24 tahun itu benar-benar berbakat.
Akui Syafiq, program Big Stage benar-benar memberi impak kepada diri dan kerjaya seninya. Selain peluang yang semakin terbuka luas, satu hal yang masih cuba dihadam oleh Syafiq adalah penerimaan luar biasa peminat terhadapnya.
“Sebelum ini jika pergi ke mana-mana acara atau sesi temu bual saya segan untuk menyebut terima kasih kepada peminat. Sebabnya tidak tahu sama ada mempunyai peminat ataupun tidak. Namun, selepas program Big Stage saya telah menyaksikan sendiri sokongan tersebut.
“Saya berkata dalam hati, rupa-rupanya saya ada peminat (ketawa). Paling ketara, saya semakin dikenali ramai. Jika dahulu saya bebas ke mana-mana, sekarang privasi di tempat awam sudah tidak ada. Biarpun begitu, saya gembira kerana orang suka kepada saya,” ujar Syafiq ketika ditemui pada sesi fotografi di Studio Utusan baru-baru ini.
Begitu juga dengan rezekinya yang turut hadir mencurah-curah antaranya menerima tawaran berlakon filem Hero The Movie ketika masih terlibat dalam Big Stage. Biarpun tidak pernah berlakon, Syafiq enggan melepaskan peluang keemasan tersebut apatah lagi filem berkenaan mengangkat kerjaya bomba.
“Saya tidak sangka akan dapat tawaran berlakon filem Hero The Movie ketika berada dalam Big Stage. Bagi saya, ini peluang yang tidak boleh dilepaskan kerana ia sebuah filem bukannya drama.
“Tambahan, filem itu mengisahkan kehidupan anggota bomba yang merupakan kerjaya azali saya sehingga hari ini.
“Saya bangga walaupun hanya memegang watak sampingan (ketawa). Jika dilihat secara kasarnya saya seperti mencuba kerjaya baharu, tetapi sebenarnya berlakon dalam filem Hero The Movie merupakan suatu tanggungjawab,” tuturnya mengenai naskhah yang turut dibintangi pelakon Hisyam Hamid tersebut.
Selain lakonan dan nyanyian, Syafiq mendedahkan dia bersikap terbuka terhadap segala peluang yang hadir. Baginya tidak salah mencuba bidang baharu untuk melihat potensi diri.
“Saya suka mencuba dan mencabar diri. Jika dapat tawaran menjadi pengacara pun saya akan cuba buat,” jelasnya.
Muzik
Berbicara mengenai bidang nyanyian, Syafiq berharap kelangsungan kerjayanya berpanjangan sebagaimana bapanya. Malah Syafiq menyimpan impian untuk memiliki sebuah lagu malar segar seperti penyanyi otai contohnya Amy Search dengan lagu Isabella dan Saleem dengan lagu Suci Dalam Debu.
Sedar perjalanan ke arah tersebut masih terlalu panjang dan bukan mudah, Syafiq mahu memperkasakan profil seni dengan cuba mencari material yang benar-benar sesuai dengan dirinya.
“Kalau itu berlaku ia merupakan pencapaian terbesar saya selain anugerah. Setakat ini belum lagi kerana saya masih mencari identiti dan hala tuju muzik,” kata anak kelahiran Setiu, Terengganu itu.
Penyanyi yang telah menghasilkan dua buah single iaitu Sayang Maafkan Aku dan Kamar Hati itu kini bakal muncul dengan single terbaharu berjudul Aku Jatuh Cinta. Lagu yang didendangkan pada final program Big Stage tersebut merupakan nukilan komposer Rooman dan lirik oleh Iman Imran.
Keluar daripada keselesaan dan sinonim dengan rentak balada, Shafiq bagaimanapun terbuka untuk mencuba genre baharu.
“Lagu Aku Jatuh Cinta agak rancak, ia keluar daripada genre saya iaitu balada. Bagaimanapun, seperti saya katakan tidak salah mencuba. Namun genre balada tetap di hati kerana ia mudah masuk ke dalam jiwa pendengar,” katanya mengakhiri bicara.











