BANDAR RAYA NEW YORK – Sejumlah bom paip dihantar kepada Barack Obama, pemimpin-pemimpin atasan Parti Demokrat, saluran televisyen CNN dan antipenyokong Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump kelmarin.
Wakil Parti Demokrat dan musuh Trump, Hillary Clinton turut menjadi sasaran pada ketika pesaing politik itu menuduh Presiden daripada Parti Republikan menyemai keganasan beberapa hari sebelum rakyat AS mengundi pada Pilihan Raya Presiden, 6 November tahun lalu.
CNN dikenali dengan liputan-liputan keras ke atas pentadbiran Trump dan secara berterusan menimbulkan provokasi terhadap Presiden yang mengambil alih tampuk pemerintahan negara daripada Obama dan menewaskan Clinton pada 2016.
Siri ancaman bom bermula pada Isnin lalu selepas seunit peranti itu ditemui di rumah bilionair, George Soros di Bandar Raya New York.
“Setakat ini peranti itu kelihatan seperti bom paip,” kata ejen Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), Bryan Paarmann.
“Sama ada ia (kerja) seorang individu atau satu rangkaian, (kami) tidak mempunyai maklumat setakat ini,” kata Ketua Polis Bandar Raya New York, James O’Neill kepada CNN.
O’Neill menyatakan dia menjangkakan mereka yang bertanggungjawab akan dikenal pasti dan ditahan dalam tempoh beberapa hari lagi.
Sekurang-kurangnya tujuh bungkusan mencurigakan dikirim di Bandar Raya New York, Washington dan Florida, termasuk kepada pemimpin Afrika-AS daripada Parti Demokrat, peguam negara Obama, Eric Holder dan ahli politik California, Maxine Waters. – AFP









