Bolt gagal capai standard Liga-A - Utusan Malaysia

Bolt gagal capai standard Liga-A

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SYDNEY 23 Okt. – Australia Central Coast Mariners berkata, rundingan dengan Usain Bolt terhenti kerana isu kewangan, dan mengingatkan kepada raja pecut dunia itu bahawa dia tidak akan bermain dalam Liga-A walaupun mengikat kontrak bersama kelab tersebut.

Juara Olimpik lapan kali itu menjalani sesi ujian bersama pasukan Liga-A sejak tiba pada Ogos bagi memenuhi impiannya menjadi pemain bola sepak profesional. Bolt, 32, meraih tumpuan dunia, selepas dia menjaringkan dua gol dalam aksi persahabatan pra-musim.

Mariners berkata, Bolt yang menolak tawaran perjanjian selama dua tahun daripada juara Liga Malta, Valletta, minggu lalu, telah ditawarkan kontrak, tetapi menambah, rundingan masih berjalan berhubung masa depan atlet itu dalam sukan bola sepak.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kelab tersebut berkata, pihaknya masih mencari penaja luar bagi menampung tawaran kepada Bolt.

“Tanpa sumbangan kewangan daripada pihak ketiga, amat sukar untuk Usain Bolt dan Central Coast Mariners mencapai persetujuan,” kata kelab itu.

Media Australia, Sydney Daily Telegraph melaporkan minggu ini, bahawa wakil Bolt pada mulanya meminta Aus$3 juta (RM8.84 juta), tetapi Mariners hanya bersedia menawarkan bayaran hampir Aus$150,000 (RM442,476).

Mariners mempertikaikan jumlah yang dituntut dan berkata: “Jika ada jalan terbaik untuk kedua-dua pihak, kami akan terus bekerja sama dan memeterai perjanjian secara formal.”

Meskipun Bolt meledakkan dua gol dalam perlawanan pra-musim, pundit mengkritik persembahan pemegang rekod dunia 100 meter itu.

Mariners memberi indikasi bahawa lelaki terpantas di dunia itu mungkin mempunyai potensi sebagai seorang pemain, tetapi dia tidak cukup bagus berada dalam kesebelasan utama jika memilih untuk kekal bersama kelab tersebut.

“Usain mempamerkan peningkatan sepanjang dia berada di Central Coast dan kami berasakan dia boleh mencapai kemajuan lagi dengan latihan intensif individu serta diberi peluang bermain dalam perlawanan kompetitif.

“Kami bersedia untuk mencari jalan membantunya, tetapi dalam masa sama kami tidak memiliki kekayaan untuk melaksanakan perjanjian seumpama ini di Liga-A Hyundai,” ujar kelab itu. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini