Bola : Berita gembira buat pemain Terengganu esok? - Utusan Malaysia

Bola : Berita gembira buat pemain Terengganu esok?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU 23 Okt. – Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dijangka mengumumkan berita gembira buat pasukan Terengganu sekiranya berjaya membawa pulang trofi Piala Malaysia dalam pertemuan final dengan Perak di Stadium Shah Alam, Selangor Sabtu ini.

Ahmad Samsuri berkata, pengumuman itu dijangka dibuat selepas beliau mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco kerajaan negeri di Wisma Darul Iman di sini, esok.

“InsyaAllah ada berita gembira mengenai ganjaran”, katanya ketika ditanya pemberita selepas pertandingan akhir dan penyampaian hadiah Pertandingan Terengganu-Exxonmobil Mathematics Innovation Challenge (TExMIC) dan Spark Your Creativity Challenge (SYCC) di Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT) di sini hari ini.

Yang hadir sama, Pengurus Besar Hal Ehwal Awam dan Kerajaan Subsidiari-subsidiari ExxonMobil di Malaysia, Sukiman Mohamed; Pengarah Jabatan Pendidikan negeri, Shafruddin Ali Hussin dan Ketua Pegawai Eksekutif PSKT, Prof. Dr. Wan Nor Liza Mahadi.

Terengganu mengesahkan tiket ke final Piala Malaysia selepas mencatat kemenangan agregat 3-2 ke atas Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi separuh akhir kedua kejohanan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor Sabtu lalu.

Ahmad Samsuri berkata, cadangan cuti peristiwa pada Ahad sebagaimana yang disuarakan sebahagian besar rakyat negeri ini akan turut diumumkan esok.

Dalam perkembangan sama, katanya, penyediaan bas percuma buat penyokong skuad Terengganu menyaksikan perlawanan berprestij itu adalah di bawah kendalian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan masing-masing

“Perkara ini sudah diambil perjalanan oleh wakil rakyat dan terkini, saya difahamkan bas Terengganu sudah habis hingga terpaksa ambil bas dari Kelantan,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN