KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) semalam mengumumkan pelantikan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz (gambar kecil) sebagai Setiausaha Agung yang baharu dalam usaha memantapkan lagi jentera parti itu dalam mendepani cabaran politik semasa.

Pengumuman dibuat oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika berucap pada Perhimpunan Agung MIC ke-72 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini semalam.
Turut hadir Mohamed Nazri dan Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan.
Jawatan berkenaan sebelum ini disandang oleh Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
Jelas Ahmad Zahid, Ahli Parlimen Padang Rengas itu kini ditugaskan untuk berjumpa pihak yang berpotensi menyertai BN.
“Kami serahkan mandat kepada Nazri. Tugas beliau adalah berjumpa sesiapa sahaja agar memperkuatkan lagi gagasan pembangkang ini.
“Hasrat kita adalah demi mewujudkan BN sebagai parti yang kuat,” katanya.
Dalam ucapannya pada majlis tersebut, Ahmad Zahid memberikan gambaran terhadap proses penjenamaan semula BN yang bakal dianggotai sehingga 10 parti teras dengan penglibatan parti-parti gabungan dan badan bukan kerajaan (NGO).
Katanya, pembabitan pihak-pihak berkenaan penting sebagai pengimbang kepada kerajaan sekarang.
“Saya harap rakyat akan bersama-sama dengan kami kerana kami menjanjikan sesuatu yang baharu setelah apa yang dijanjikan oleh pihak yang telah membentuk kerajaan tidak dapat dilaksanakan,” katanya.
Di Nilai, Negeri Sembilan, permohonan tiga parti iaitu Kongres India Muslim Malaysia (Kimma), Makkal Sakti dan Barisan Kemajuan India SeMalaysia (IPF) untuk menjadi parti komponen BN akan dipertimbangkan.
Ahmad Zahid berkata, penjenamaan semula BN akan turut mengambil kira kedudukan parti gabungan dan parti lain yang ingin menyertai BN.
Justeru, beliau yang juga Presiden UMNO tidak menolak kemungkinan terdapat perlembagaan BN perlu diubah bagi membolehkan penyertaan parti-parti berkenaan.
“Permintaan Kimma yang merupakan parti gabungan UMNO untuk menjadi parti komponen BN adalah sama dengan nada Makkal Sakti dan IPF.
“Kita akan bincangkan dengan parti komponen BN dan mengikut suara majoriti,” katanya semasa berucap merasmikan Perhimpunan Agung Kimma ke-41 di Nilai semalam.
Turut hadir Presiden Kimma, Datuk Seri Syed Ibrahim Kader; Presiden IPF, Datuk M. Sambanthan dan Presiden Makkal Sakti, Datuk Seri R. S Thanentiran.










