AWANG tidak terkejut sekiranya rampasan rokok seludup mampu mencecah sehingga satu bilion batang sebelum akhir tahun ini. Angka Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dalam tempoh sembilan bulan tahun ini menunjukkan trend peningkatan itu dengan rampasan 700 juta batang.
Kemasukan rokok seludup dijangka meningkat berikutan kenaikan cukai produk ini yang menyebabkan harga lebih mahal. Apabila harga mahal, rokok seludup yang murah menjadi pilihan.
Langkah membanteras penyeludupan bukan sekadar mahu mengelakkan kehilangan hasil cukai tetapi yang penting kesan terhadap kesihatan.
Rokok seludup lebih murah dan ada pihak berjaya memasarkannya di pasaran terbuka. Semua orang tahu bahawa merokok membahayakan kesihatan tetapi yang lebih membimbangkan, kajian menunjukkan rokok seludup adalah tiga kali lebih berbahaya.
Maknanya mengambil sebatang rokok seludup bersamaan dengan menghisap tiga batang rokok yang sah. Difahamkan kandungan bahan kimia rokok seludup melebihi had yang ditetapkan serta kandungannya mungkin dicemari bahan kimia. Justeru semua pihak perlu bekerjasama membanteras penyeludupan.
Awang bimbang usaha mendidik masyarakat untuk mengurangkan tabiat merokok seperti menambah zon larangan merokok akan sia-sia sekiranya rokok seludup mudah didapati di pasaran. Orang awam khususnya bukan perokok boleh membantu pihak berkuasa mengesan premis atau individu yang disyaki menjual atau menyimpan rokok tanpa cukai ini.
AWANG – Terkenang rokok daun.











