BISIK-BISIK AWANG SELAMAT - 23 OKTOBER 2018 - Utusan Malaysia

BISIK-BISIK AWANG SELAMAT – 23 OKTOBER 2018

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AWANG berharap jawatankuasa siasatan khas dapat menyediakan laporan yang menyeluruh berhubung punca tanah runtuh di projek lebuh raya berkembar Paya Terubong pada Jumaat lalu. Semua pihak perlu memberi kerjasama kepada jawatankuasa yang ditubuhkan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) itu.

Dengan dianggotai tenaga kepakaran pelbagai agensi, laporan berkenaan diharap dapat merumuskan langkah-langkah keselamatan yang perlu diambil bagi mengelakkan insiden seumpama itu berulang. Cukuplah dengan dua insiden yang mengorbankan banyak jiwa.

Semua pihak terutama di tapak pembinaan perlu mempunyai kesedaran untuk memaklumkan wujudnya tanda-tanda yang memungkinkan berlakunya bencana seumpama ini. Hujan dan angin lebih merupakan faktor penyumbang sekiranya langkah-langkah pencegahan tidak dilakukan.

Walaupun kerajaan negeri tidak akan membatalkan projek yang bernilai RM545 juta itu tetapi pada masa yang sama langkah-langkah keselamatan perlu diberi perhatian. Pemantauan dan khidmat nasihat yang berterusan amat perlu. Dengarlah pelbagai pandangan berhubung risiko pembangunan di lereng bukit.

Awang juga berharap kerajaan negeri tidak menganggap pandangan pakar dan pertubuhan bukan kerajaan sebagai menentang pembangunan. Terimalah nasihat mereka sebagai usaha menjaga keselamaan dan alam sekitar. Jangan atas nama pembangunan, lereng bukit ditarah sesuka hati sehingga mempertaruhkan nyawa orang ramai sama ada sebagai pengguna prasarana atau penghuni unit kediaman.

AWANG – Bimbang banjir kilat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN