AWANG setuju dengan pesanan Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Lee Boon Chye supaya rakyat Malaysia memasak air paip terlebih dahulu sebelum diminum. Alasannya bahawa air yang disalurkan melalui paip air yang berkemungkinan telah lama digunakan serta berkarat. Sejak di bangku sekolah, guru-guru sering memperingatkan supaya minum air yang dimasak walaupun sesetengah penjual air batu menggunakan air paip tanpa dimasak.
Tidak dinafikan air paip yang diproses di loji rawatan air memenuhi piawaian yang ditetapkan. Persoalannya adakah sebelum sampai ke rumah, air itu benar-benar selamat dan boleh diminum?
Masyarakat sering menghadapi isu air dicemari paip kotor, paip lama yang berkarat serta keadaan tangki air berpasir dan berlumut. Faktor ini menjadi penyumbang air tidak bersih. Adalah lebih baik, air paip dimasak terlebih dahulu kecuali bagi yang menggunakan penapis air.
Kita tidak mempertikaikan sistem bekalan air bersih di negara ini yang bebas bakteria e-Coli tetapi pengakhirannya yang perlu diberi perhatian.
Awang berharap, penjelasan itu dapat menamatkan pelbagai pandangan berikutan kenyataan menteri yang kemudiannya disokong oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN). Kenyataan berkenaan menimbulkan pelbagai reaksi malahan ada yang memberi pandangan sinis yang melucukan. Diharapkan selepas ini setiap kenyataan perlu bersandarkan fakta yang boleh meyakinkan orang ramai supaya mereka tidak keliru.
AWANG – Tunggu siasatan laksa ‘beracun’











