KAJANG 22 Okt. – PENDUDUK di Taman Taming Emas, Taman Bidara dan Taman Berjaya Baru dekat sini merayu agar pemaju projek pemasangan paip pembetungan Langat 2 bertanggungjawab sepenuhnya terhadap masalah retak di dinding, tiang dan lantai rumah mereka.
Mereka mendakwa, pemaju hanya melaksanakan kerja-kerja tampalan secara sambil lewa agar sekali gus menimbulkan kebimbangan.
Sementara itu tinjauan Utusan Malaysia di lokasi mendapat dakwaan penduduk berasas apabila kesan keretakan boleh dilihat di sana sini terutama di dinding dan lantai rumah penduduk terlibat.
Difahamkan, masalah itu berlarutan sejak setahun yang lalu namun tiada sebarang tindakan diambil pihak pemaju bagi memastikan keselamatan penduduk terjamin.
Turut dibangkitkan penduduk, mengenai tahap keselamatan dan kebersihan di tapak pembinaan.
Mereka mendakwa kegagalan pihak pemaju melakukan kerja-kerja selenggara menyebabkan terdapat takungan air sehingga mengundang pembiakan nyamuk aedes di kawasan itu.
Sementara itu, Ahli Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) Norzulaila Abd. Ghani ketika turun padang ke kawasan itu memberitahu, projek yang dijalankan sejak empat tahun lalu itu melibatkan pemasangan paip pembetungan di bahagian bawah tanah sepanjang dua kilometer dan sebahagiannya turut melalui kawasan rumah penduduk sedalam 18 meter.
“Pihak kami sedia maklum berhubung aduan penduduk di kawasan berkenaan dan cuba mencari jalan penyelesaian terbaik untuk keselamatan dan keselesaan mereka.
“MPKj akan mengadakan perbincangan sekali lagi dengan pihak pemaju pada minggu depan dan berharap isu ini diselesaikan dengan cari baik dan memberi keadilan kepada kedua-dua pihak,” katanya.











