KUALA TERENGGANU 22 Okt. – Bagi memperingati pemergian 100 tahun dua tokoh silam tersohor iaitu Sultan Zainal Abidin III dan Tok Ku Paloh, satu kolokium Umara & Ulama Terengganu diadakan di Muzium Negeri di sini hari ini.
Kolokium sehari yang berlangsung di Dewan Batu Bersurat muzium itu memberi peluang kepada kira-kira 300 hadirin dari pelbagai latar belakang untuk mengikuti dua segmen diskusi yang disertai enam ahli panel dalam kalangan pensyarah dan tokoh akademik.
Program antara antara lain bertujuan merungkai lebih mendalam tentang peranan besar dua tokoh berkenaan Tok Ku Paloh dalam sejarah perkembangan negeri Terengganu yang banyak berkait dengan tradisi perundangan, pentadbiran dan keilmuan.
Baginda Sultan Zainal Abidin III merupakan Sultan Terengganu ke-11 (memerintah dari 1881 1918) yang diakui alim selain akrab dengan ulama-ulama Terengganu pada masa itu terutama Syeikhul Ulama, Syed Abdul Rahman Syed Muhammad Al-Idrus atau dikenali sebagai Tok Ku Paloh.
Program anjuran Lembaga Muzium Negeri Terengganu itu yang dimuatkan dalam kalendar muzium berkenaan dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman.
Yang turut hadir, Pengarah Lembaga Muzium Negeri, Che Muhamad Azmi Ngah; Ketua Penolong Pengarah Muzium berkenaan, Fauzi Muda serta para ulama dan ahli-ahli lembaga pengarah muzium itu.
Sesi pertama dijayakan tiga ahli panel iaitu Prof. Dr. Engku Ahmad Zaki Engku Alwi dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) diikuti Prof. Tan Sri Dr. Abdul Latiff Abu Bakar (Universiti Islam Malaysia) dan Prof. Madya Dr. Berhanudin Abdullah (UniSZA).
Tiga lagi ahli panel untuk sesi kedua ialah Prof. Emeritus Datuk Dr. Abdullah Zakaria Ghazali (Universiti Malaya), Dr. Hamdan Aziz (Universiti Malaysia Terengganu) dan Engku Ahmad Fadzil Engku Ali (Institut Kajian Strategik Islam Malaysia).-UTUSAN ONLINE










