“KALAU boleh biarlah si pelaku dijatuhi hukuman berat dan memberikan pengajaran kepada orang lain,” ungkap Maya Karin ketika diminta mengulas mengenai isu filem Munafik 2, baru-baru ini.
Sudah pasti isu memuat naik pautan filem yang dirakam secara haram dan disebarkan bukan lagi perkara baharu. Munafik 2 bukanlah satu-satunya filem yang menjadi mangsa sebaliknya sudah berlaku beberapa kali kepada filem lain.
Meskipun isu ini sering dibangkitkan sejak dahulu, tiada tanda-tanda ia akan berakhir. Sudah pasti ramai yang memuji tindakan pengarahnya, Syamsul Yusof mengheret pelaku ke muka pengadilan.

“Mereka bukan tidak tahu apa yang dilakukan adalah salah tetapi ada kala cuba mencabar undang-undang kerana tiada tindakan tegas. Kali ini biarlah pelaku mendapat pembalasan setimpal.
“Ini bukan sahaja melibatkan isu harta intelek tetapi juga melibatkan akta lain. Orang lain bekerja keras dan orang lain yang mendapat untung dengan cara mudah. Mana keadilannya?” tambahnya lagi.
Terdahulu, Syamsul memfailkan saman dan injunksi secara ex-parte kepada seorang individu yang memuat naik pautan rakaman yang dibuat melalui Facebook. Tindakan pelaku menyebabkan pautan itu dikongsi dan disebarkan melalui beberapa media sosial lain.
Menerusi tindakan sivil berkenaan, Syamsul turut menghalang tertuduh daripada memuat naik, menyebarkan dan beberapa tuntutan lain yang difikirkan munasabah.
“Kalau boleh saya mahu si pelaku merasai sendiri pengalaman bekerja sebagai kru produksi tanpa bayaran. Biarlah dia tahu betapa peritnya kehidupan kru yang bekerja keras untuk menghasilkan filem.
“Ada kala mereka tak tahu keperitan orang lain. Jadi lebih baik kita beri orang seperti ini merasa sendiri pengalaman. Nanti dia akan tahu cara untuk menghargai,” kata Maya ketika ditemui pada majlis pra pelancaran Media House Entertainment (MHE) di Wisma Trax, Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Portal Media House Entertainment boleh diakses melalui www.mhetv.my merupakan media bersepadu yang merangkumi hiburan dan gaya hidup.










