Berterima kasih bukan marah Tok Pa - Utusan Malaysia

Berterima kasih bukan marah Tok Pa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tiada apa-apa yang mengejutkan apabila Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed membuat ke­pu­tusan menyertai Parti Pribumi Ber­satu Malaysia (Bersatu) selepas kira-kira sebulan meninggalkan UMNO yang dianggotainya selama 40 tahun.

Malah jangan ada pihak mencemuh tindakan Mustapa atau Tok Pa kerana seperti mana kata beliau, kemasukannya ke dalam Bersatu bagi memboleh­kan “saya memainkan peranan yang lebih berkesan bagi mem­bela kepentingan pengundi saya di Jeli dan rakyat Kelantan.”

Justeru pengundi di Jeli dan rakyat Kelantan perlu berasa bertuah kerana selepas ini mereka pasti akan menikmati pembangunan dan kesejahteraan yang mengagumkan kerana Mustapa sudah boleh memainkan peranan berkesan berban­ding selama 40 tahun berada dalam UMNO dan berpuluh tahun menjadi menteri termasuk menjadi Menteri Kewangan II.

Mereka tidak perlu bimbang lagi kerana Jeli pasti akan menjadi daerah paling maju di Kelantan manakala negeri Cik Siti Wan Kembang tidak akan menjadi antara negeri termiskin di negara ini.

Selain itu rakyat Pantai Timur boleh mengharapkan tempias keberkesanan Mustapa menyertai Bersatu selepas ini memandangkan bekas Setiausaha Politik Tun Daim Zainuddin tersebut sudah pasti mampu meyakinkan kerajaan Pusat meneruskan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Oleh itu penyertaan Mustapa harus disambut dengan `seribu kesyukuran’ kerana ia bakal memberi manfaat cukup besar kepada penduduk Pantai Timur khususnya di Kelantan. Penulis yakin sebagai seorang tokoh politik hebat, berintegriti dan berwibawa, Mustapa akan dibawa kembali ke dalam Kabinet.

Jika itu berlaku sudah pasti ia anugerah kepada rakyat Kelantan kerana penyertaan Mustapa dalam Kabinet  akan membolehkan beliau memberi peranan lebih berkesan untuk membantu mereka dan lebih penting akan mencapai cita-cita Mustapa untuk me­numbangkan Pas selepas gagal berbuat demikian sepanjang menerajui UMNO.

Maklumlah Bersatu tidak seperti UMNO. Mustapa sudah menegaskan, hala tuju UMNO hari ini tidak selari dengan prinsip politik yang menjadi pegangan beliau. Ia bermakna Bersatu lebih sesuai dengan jiwa perjuangan beliau iaitu sebuah parti yang inklusif, mo­derat dan berhaluan tengah.

Lagipun buat apa berada dalam UMNO yang sudah tidak lagi mempunyai kuasa di pe­ringkat pusat, nanti tidak berkesan pula mahu berkhidmat untuk rakyat walaupun ramai lagi wakil rakyat yang terus berjaya menjalankan tugas mereka biarpun sudah berpuluh-puluh tahun jadi pembangkang sama ada di peringkat pusat mahupun negeri. Apapun inilah politik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN