KUALA LUMPUR 25 Okt. – Keputusan Kementerian Pendidikan mengekalkan pembatalan langganan Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia adalah bertentangan dengan dasar kebebasan media yang kononnya dilaungkan kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Perkara itu dibangkitkan oleh Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) ketika membahasakan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menyifatkan keputusan kementerian itu sebagai dwistandard dan menunjukkan tiada kebebasan seperti diuar-uarkan.
“Bercakap kononnya mahu kebebasan, itu polisi tidak tunjuk kebebasan. Kalau mahu bebas, bebaslah, kalau mahu berikan hak rakyat bersuara, berilah, apa mahu sekat Utusan Malaysia?
“Mahu sekat akhbar buat apa? Sekat akhbar daripada masuk sekolah, pelajar boleh baca juga di internet. Laksanakanlah, tunjukkanlah kalau mahu guna kebebasan berfikir, apa sekat Utusan Malaysia sahaja,” katanya.
Terdahulu, dalam sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat hari ini, Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching menegaskan pendirian untuk mengekalkan keputusan pembatalan langganan akhbar Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia bagi semua agensi, sekolah, universiti, kolej dan institusi di bawah kementeriannya.










