KINABATANGAN 28 Okt. – Hanya disebabkan berlaku pertengkaran, seorang lelaki tergamak menetak isterinya di kepala sehingga maut dalam rumah mereka di Perumahan Pekerja Ladang Pintasan 5B, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8 pagi itu, mangsa yang berusia 27 tahun turut terputus tiga jari serta pergelangan tangan kanan terkulai akibat tindakan kejam suaminya.
Ketua Polis Daerah, Superintenden A. Sahak Rahmat berkata, mangsa yang bekerja di Ladang Pintasan ditemukan di ruang tamu rumah itu dalam keadaan terlentang dan berlumuran darah.
“Pemeriksaan pada badan mayat itu mendapati terdapat kecederaan kesan tetakan di muka sebelah kiri, di bahagian atas dan belakang kepala serta pergelangan tangannya separuh terputus.
“Suspek yang berusia 30-an ditahan selepas pihak polis melancarkan gerakan memburunya kerana cuba menyembunyikan diri,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian berpunca akibat perselisihan faham antara mangsa dengan suspek semasa mereka berada di dapur.
“Pada masa kejadian jiran mangsa berada di rumah, namun tidak ada yang mendengar sebarang pergaduhan ataupun bunyi bising dari kediaman mereka.
“Jiran mangsa hanya melihat suspek telah berada di luar rumah sambil memegang sebilah parang kira-kira pukul 8 malam sebelum melarikan diri ke arah sungai,” katanya.
Tambahnya, mayat kemudian di hantar ke Hospital Kinabatangan untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.










