Bernas rai 31 anak-anak Pertubuhan Kebajikan Misi Harapan Teluk Intan - Utusan Malaysia

Bernas rai 31 anak-anak Pertubuhan Kebajikan Misi Harapan Teluk Intan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERI MANJUNG – Seramai 31 anak-anak kurang bernasib baik dari Pertubuhan Kebajikan Misi Harapan Teluk Intan diraikan syarikat pengeluar beras negara, Padiberas Nasional Berhad (Bernas) dalam program Ikhlas Perayaan Deepavali di pasar raya Aeon di sini hari ini. 

Ketua Wilayah Perak dan Pulau Pinang Bernas, Mohd. Sabri Shamsudin berkata, penganjuran program tersebut merupakan tanggungjawab sosial Korporat (CSR) Bernas yang diadakan secara tahunan sejak 2016.

“Kita memberi kebebasan kepada 31 anak-anak berumur tiga hingga 18 tahun ini memilih sendiri pakaian yang mereka suka sempena perayaan Deepavali yang akan disambut pada 6 November depan.

“Ini menunjukkan sikap keprihatinan Bernas kepada mereka agar mereka turut bergembira dan memperagakan pakaian baru nanti,” katanya ketika ditemui pemberita di pasar raya Aeon di sini hari ini.

Tambah Mohd. Sabri, pihaknya juga turut memberi sumbangan berupa perabot dan dekorasi baru di rumah kebajikan tersebut pada Khamis lalu.

Sementara itu, salah seorang penghuni rumah berkenaan, R. M. Suthagar, 18, meluahkan perasaan teruja dan gembiranya apabila diberi peluang untuk memilih sendiri pakaian yang akan diperagakan pada Deepavali nanti.

“Kami sangat berterima kasih kepada Bernas kerana memberi pengalaman kepada kami untuk memilih pakaian cantik sempena hari raya ini.

“Ini pengalaman pertama saya membeli dua pasang pakaian raya sepanjang lima tahun tinggal di rumah kebajikan ini bersama dua adik,” katanya. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN