KETUA jurulatih perseorangan lelaki negara, Datuk Misbun Sidek mengakui beliau tidak mempunyai masalah untuk bekerjasama dengan bekas anak didiknya, Wong Choong Hann yang dilantik sebagai Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang baharu.
Bagaimanapun, beliau berharap Choong Hann serta pihak pengurusan tertinggi BAM memberi kelonggaran kepadanya untuk meneruskan modul serta program latihan yang sudah dibuat sebaik sahaja kembali ke pangkuan badan induk sukan negara itu tahun lepas.
Meskipun mahu mengekalkan modul latihan sedia ada terhadap skuad perseorangan lelaki, namun Misbun berkata, beliau sedia untuk bekerjasama dengan Choong Hann sekiranya ia mampu meningkatkan prestasi pemain negara.
“Saya ambil positif pelantikan Choong Hann selaku Pengarah Kejurulatihan BAM kerana ini adalah keputusan pucuk pimpinan iaitu Presiden, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria serta Ahli Majlis BAM.
“Saya akur dan tidak ada masalah besar untuk saya. Apa yang menjadi harapan saya adalah restu daripada dia serta pengurusan untuk meneruskan perancangan saya kerana ada sebab-sebab tersendiri,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, Kuala Lumpur semalam.
Legenda badminton tanah air itu turut mengakui Choong Hann memiliki karisma tersendiri serta menggesa bekas pemain No. 1 dunia tersebut supaya tidak berasa tergugat meskipun perlu bekerjasama dengan ‘sifu’ sendiri.
Bagi Misbun, apa yang penting adalah mereka boleh bekerjasama sebagai satu pasukan biarpun sebelum ini beliau hanya melaporkan terus kepada Presiden tanpa melalui orang tengah selepas Morten Frost Hansen meletakkan jawatan selaku Pengarah Teknikal.
“Choong Hann adalah anak didik saya dan pernah jaga dia sejak 2002, jadi saya tahu dia memiliki karisma. Saya harap kami boleh berinteraksi secara profesional dan jangan menganggap saya berada di atas dia.
“Pada pandangan saya, jawatan seperti ini mampu membantu saya untuk tingkatkan modul sesuatu latihan terhadap perkembangan pemain. Dengan adanya Choong Hann, saya selaku jurulatih akan dipantau, sekali gus mampu menjadikan tugas lebih efisien,” tambahnya.
Dalam pada itu, beliau berharap supaya tidak ada campur tangan terhadap perancangannya dalam sistem latihan skuad perseorangan lelaki kerana ia mungkin mendatangkan kesan kurang baik.
“Sekiranya saya bertungkus lumus di bawah ini untuk mempersiapkan pemain, tiba-tiba ada tindakan luar daripada kotak pemikiran saya, ia boleh mengganggu, jadi apa yang saya buat, saya akan bertanggungjawab,” ujarnya.









