KUALA LUMPUR 26 Okt. – Menjelang pembentangan Bajet 2019, kerajaan diminta mempertimbangkan pemberian permit persendirian kepada pemandu teksi bagi membolehkan mereka memiliki kenderaan sendiri pada kadar berpatutan.
Presiden Persatuan Badan Kebajikan Pemandu Teksi & Kereta Sewa India Muslim (Pebaktim), Hanifah Abdul Samad mendakwa, ketika ini permit berkenaan dipegang secara ‘monopoli’ oleh syarikat teksi dan setiap pemandu perlu membayar deposit antara RM5,000 hingga RM8,000 untuk mendapatkan kenderaan.

Selain itu, dakwanya, pemandu juga perlu membayar kadar sewa harian antara RM50 ke RM120 bagi teksi biasa dan RM156 bagi airport limo kepada syarikat teksi.
“Kalau mengikut pasaran, bayaran bulanan teksi hanya RM600 tetapi apabila pakai khidmat syarikat teksi harga bulanan boleh mencecah ribuan ringgit. Saya harap kerajaan melihat perkara ini dan atasinya segera dengan memberi permit tersebut kepada kami.
“Satu lagi, jika permit tersebut diserahkan kepada pemandu teksi, mereka akan lebih berhemah ketika bersama pelanggan kerana setiap aduan berisiko menyebabkan permit ditarik balik,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dijadual membentangkan Bajet 2019 pada Jumaat depan di Dewan Rakyat.
Dalam pada itu, Presiden Persatuan Pengusaha Teksi Wilayah Persekutuan dan Selangor, Datuk Aslah Abdullah berkata, seiring dengan perkembangan semasa, teksi juga perlu bertukar wajah dan kerajaan diharap dapat menawarkan harga ‘terbaik’ bagi pengusaha teksi mendapat kereta berenjin hibrid.
Beliau berkata, kenderaan tersebut bukan sahaja mesra alam dan jimat kos, malah lebih selesa berbanding kenderaan tempatan yang digunakan pengusaha teksi ketika ini.
Sementara itu, Penasihat Big Blue Taxi Facilities Sdn. Bhd., Datuk Shamsubahrin Ismail berharap, kerajaan dapat menyediakan kediaman Projek Perumahan Rakyat (PPR) kepada pemandu teksi khusus yang menetap di ibu negara dan beberapa bandar besar lain.
Selain itu, beliau berharap beberapa kemudahan yang diberikan kepada pemandu teksi sebelum ini seperti bahan api murah, pengurangan tol, cukai jalan dan duti eksais dikekalkan dalam pembentangan tersebut.










