KAYUHAN basikal secara solo sejauh 2,050 kilometer selama 28 hari. Itu yang dilakukan oleh pengayuh tegar, Khairil Aslan Abdul Rasid sepanjang menjayakan misi Kayuhan Solo Trans Borneo 2018 pada Mac hingga April lalu.
Memilih basikal jenis fat bike atau basikal yang menggunakan tayar bersaiz besar, Khairil Aslan mencipta pengalaman luar biasa, sekali gus membuktikan tiada apa mustahil dilakukan jika ada keazaman dan kesungguhan yang kuat dalam menempuh setiap ujian yang hadir tanpa diundang.
Ekspedisi berbasikal solo Khairil Aslan bermula pada 25 Mac lalu di Kuching, Sarawak. Beliau menempuh negara Brunei sebelum masuk semula ke dalam negara bagi mengakhiri kayuhan di titik penghujung tanah Kepulauan Borneo di Kudat, Sabah.
Dengan basikal fat bike yang ditaja oleh syarikat HHH My Bike Trading, Khairil Aslan tekad memulakan kayuhan secara solo di Borneo.
Menggunakan fat bike jenama Maxtron Perfect 10 dan tayar berukuran lebar 5.05 inci, Khairil Aslan memulakan kayuhan solo dari Kuching. Destinasi seterusnya adalah Sarikei, Sibu dan Tatau.
Kayuhan dari pekan-pekan kecil sehingga bandar-bandar utama di Sarawak memberi peluang kepada Khairil Aslan mengenali negeri itu dengan lebih dekat.
“Sudah tentu keadaan jalan raya di Sarawak agak mencabar. Saya tidak menggunakan jalan raya utama, sebaliknya banyak menggunakan laluan di kawasan pedalaman untuk sampai ke satu-satu destinasi,” katanya kepada S2.
Menurut Khairil Aslan yang berusia 43 tahun, sepanjang melalui kawasan pekan dan perkampungan di Sarawak, dia dapat melihat begitu banyak etnik di negeri itu yang tidak pernah diketahuinya.
Mengulas masa kayuhan, Khairil Aslan berkata, setiap hari dia memulakan kayuhan pada pukul 9 pagi dan mengakhirinya sebelum malam tiba.
Dia akan bermalam di setiap destinasi yang dijejaki menjelang malam, dan bergerak semula keesokan pagi.
Katanya, kayuhan paling jauh dalam ekspedisi ini adalah dari Bintulu ke Miri, sejauh 238 kilometer.
Ketika itu, katanya, dia tiba di Miri tepat pukul 9.30 malam dan itu merupakan laluan paling teruk dilaluinya di Sarawak kerana jalan yang berbukit dan tiada kawasan perumahan.
Dari Miri, Khairil Aslan berehat dan memulakan kayuhan keesokan harinya menuju ke sempadan Sarawak-Brunei.
Di situ, dia menemui seorang sahabat baiknya yang menjalankan perniagaan kedai basikal di pekan tersebut. Setelah berehat dua hari dan membaiki fat bikenya, Khairil Aslan memutuskan untuk meneruskan kayuhan melalui jalan raya sepanjang Brunei.
Dari Brunei, Khairil Aslan meneruskan kayuhan ke sempadan Sarawak-Sabah dan menyasarkan untuk bermalam di Sipitang, Sabah.
Satu peristiwa yang dirasakan lucu berlaku ialah ketika beliau tiba di sempadan negeri. Ketika itu, beliau perlu berurusan dengan pihak imigresen di Sarawak untuk masuk ke Sabah.
“Ketika mengesahkan pasport di kaunter Sarawak, pegawai imigresen itu menghulurkan pasport saya ke pegawai yang duduk di sebelahnya, iaitu pegawai imigresen Sabah untuk pengesahan kemasukan saya ke negeri itu pula,” katanya.
Peristiwa itu mungkin kecil tetapi menjadi pengalaman berharga buat Khairil Aslan.
Sebaik sahaja mendapat pengesahan memasuki Sabah, dia meneruskan perjalanan sambil ditemani beberapa ahli Persatuan Orang Kuat Fat Bike Sabah yang mengayuh bersama-samanya sehingga ke Sipitang.
Semasa bermalam di bandar itu, Khairil Aslan sempat menikmati keistimewaan yang terdapat di Sipitang iaitu makanan laut dan sate yang terkenal di Sabah.
Menjelang fajar, Khairil Aslan tidak membuang masa meneruskan kayuhan mengikut laluan pesisiran pantai sejauh 185 kilometer menuju ke Putatan.
Di perjalanan seterusnya iaitu dari Darau, Khairil Aslan terus mengayuh dan kali ini, beliau melalui laluan lebih ekstrem yang bergunung-ganang untuk sampai ke Kota Belud, dan seterusnya tiba ke Kudat.
Kudat memberikan pengalaman paling manis buat Khairil Aslan apabila beliau berjaya menjejakkan kaki ke Tip of Borneo iaitu penghujung Kepulauan Borneo.
“Tempat ini benar-benar cantik…, tidak ubah seperti di Maldives. Ia adalah kemuncak ekspedisi saya,” katanya yang kemudian terus ke Kota Kinabalu bagi menamatkan kayuhan solonya di Borneo pada 20 April 2018.










