KUALA LUMPUR 21 Okt. – Pendedahan teknik rakaman dan suntingan foto serta video menggunakan telefon bimbit mendapat sambutan dalam Bengkel 100% Poketgrafi anjuran Sibermedia Sdn. Bhd., semalam.
Menampilkan tenaga pengajar berpengalaman, Mohd. Hazli Hassan, bengkel tersebut diadakan untuk memberikan penekanan bagaimana menggunakan telefon pintar sebagai kerja harian, bersosial dan berniaga kepada pelbagai lapisan masyarakat.
Menurut Mohd. Hazli, selaras dengan peredaran masa serta era kepesatan teknologi, kemampuan telefon pintar untuk menerbitkan foto dan video tanpa menggunakan komputer peribadi atau komputer riba menjadi tumpuan.
Katanya lagi, bengkel tersebut turut membolehkan pengguna menerbitkan foto atau video di mana-mana sahaja dengan mudah tanpa perlu menggunakan perkakas yang besar mahu pun berat dan seterusnya dapat dimuat naik ke platform media sosial.
“Ini selaras dengan era media sosial masa kini di mana kepantasan memainkan peranan utama dalam mengemas kini informasi terbaharu.
“Jadi, foto dan video merupakan elemen penting dalam menyebarkan maklumat terutama oleh para peniaga, syarikat korporat, pelajar dan juga individu untuk mempromosikan produk-produk mereka,” katanya.










