Beng Hock: Peguam Negara belum beri arahan buka kes - Utusan Malaysia

Beng Hock: Peguam Negara belum beri arahan buka kes

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 25 Okt. – Peguam Negara belum mengeluarkan sebarang arahan kepada pihak polis untuk membuka semula kes kematian Teoh Beng Hock.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin berkata, permohonan untuk membuka semula siasatan kes kematian Setiausaha Politik kepada Exco Selangor itu masih di pejabat Peguam Negara.

“Saya diberitahu ia (permohonan) masih di pejabat Peguam Negara. Apa-apa keputusan untuk membuka semula kes mestilah dibuat oleh Peguam Negara. Setakat ini belum ada lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan surat kelulusan warganegara Malaysia kepada seramai 200 penerima di Jabatan Pendaftaran Negara di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh yang mendesak agar kes kematian Beng Hock segera dibuka semula.

Mengulas lanjut perkara sama, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun yang turut hadir berkata, pihaknya belum mendapat arahan daripada Peguam Negara.

Beng Hock ditemui mati pada 16 Julai 2009 di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), di tingkat 5, Plaza Masalam, Shah Alam, sehari selepas ditahan oleh suruhanjaya itu berhubung siasatan penyalahgunaan wang wakil rakyat di negeri Selangor.
Keluarga Beng Hock kemudian memohon untuk membuka semula siasatan kes berkenaan pada tahun 2011 namun mahkamah menolak permintaan keluarga mereka.

Permohonan sama juga turut dibuat oleh keluarga Beng Hock pada 2014 di Mahkamah Rayuan tetapi turut ditolak. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN