Belia Melayu perlu kuasai bahasa Cina - Anwar - Utusan Malaysia

Belia Melayu perlu kuasai bahasa Cina – Anwar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN 20 Okt. – Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru golongan belia Melayu supaya menguasai bahasa Cina kerana ia merupakan bahasa ekonomi serantau.

Presiden PKR itu berkata, ia tidak bermakna beliau tidak mengutamakan kepentingan bahasa Melayu.

“Penguasaan bahasa lain perlu didokong namun tidak bermakna saya pertahankan bahasa Cina serta Inggeris dan meminggirkan bahasa Melayu.

“Kita perlu menerima kedua-dua bahasa itu sebagai bahasa ekonomi serantau yang strategik asalkan diterima tanpa persoalkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Seminar Kebangsaan: Visi Islam Dalam Aspirasi Malaysia Baharu sempena Muktamar Sanawi Ke-47 anjuran Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di sini hari ini.

Yang turut hadir Presiden ABIM, Mohamad Raimi Ab. Rahim; Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan 2018, Prof. Datuk Dr. Siddiq Fadzil; Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Zulkefly Mohamad Omar.

Dalam pada itu, Anwar yang merupakan bekas Presiden ABIM berkata, pembangunan negara hari ini perlu seiring dengan konsep kemanusiaan agar kefahaman Islam dapat ditonjolkan secara inklusif.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, ketika ini usaha untuk memperlihatkan konsep tersebut berdepan cabaran ilmu, kefahaman dan sikap.

“Pandangan ekonomi kita bukan sekadar pemerintahan yang baik dan bebas rasuah, tetapi perlu menekankan nilai manusiawi. Kadang-kadang pembangunan dari segi angka menunjukkan pertumbuhan menakjubkan tetapi dimensi manusia dipinggirkan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN