Belanjawan pastikan rakyat makmur - Utusan Malaysia

Belanjawan pastikan rakyat makmur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Belanjawan pertama Pakatan Harapan yang akan dibentang pada Jumaat ini bakal meletakkan Malaysia pada kedudukan lebih kukuh dan memastikan kemakmuran rakyat dan generasi akan datang, kata Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Kita sekarang sedang dalam penyusunan semula, ia merupakan sesuatu yang perlu dilakukan untuk menyediakan keupayaan kita bagi menyerap kejutan global atau sebarang pergolakan kewangan di hadapan,” katanya dalam ucaptama pada persida­ngan tahunan Persekutuan Analisis Teknikal Antarabangsa 2018 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini semalam.

Perdana Menteri memberi jaminan bahawa ekonomi Malaysia mampu menyerap kejutan global serta menembusi cabaran global dan ketidakpastian melalui dasar-dasar yang sentiasa mesra perniagaan. Ia juga res­ponsif terhadap idea dan cada­ngan baharu.

Beliau menegaskan, kerajaan tetap yakin bahawa dasar-dasar baru akan mewujudkan asas yang lebih kukuh, keseimbangan antara perbelanjaan berhemat dan memastikan sektor swasta diberi rangsangan yang kuat.

“Saya juga ingin memberi jaminan kepada para pelabur bahawa sebarang perubahan dasar tidak akan memudaratkan perniagaan dan usaha mereka,” katanya sambil disambut tepukan gemuruh para hadirin.

Mengenai pasaran modal di Malaysia, Dr. Mahathir berkata, negara juga telah mengalami pelbagai perubahan daripada penya­tuan kepada peraturan serta penyesuaian teknologi baharu dan teknologi yang dinaik taraf selain pengenalan penawaran produk bagi memenuhi keperluan pelabur runcit dan institusi.

Beliau percaya kecairan yang lebih besar akan memastikan pasaran modal yang berkembang maju membawa lebih ba­nyak peniaga, pemaju sistem, ahli strategi pasaran dan lebih banyak pemain.

“Pemain institusi yang tidak mengambil risiko memerlukan saham modal yang lebih kecil dan meningkatkan idea penyer­taan mereka secara langsung atau tidak langsung. Pelabur runcit dan peniaga pula perlu mengasah kemahiran mereka,” katanya.

Menurut beliau, semen­tara pelaburan jangka panjang adalah kritikal, perdagangan jangka­ pendek akan mendorong penyer­taan lebih jauh dalam pasaran dan dengan itu mening­katkan kecairan keseluruhan dalam pasaran saham.

Dr. Mahathir mengetengahkan bahawa kemahiran perdagangan bukan sahaja penting kepada kewangan profesional tetapi ia juga sangat relevan kepada keseluruhan orang awam yang melabur.

“Sekiranya lebih ramai orang mula berdagang dan memahami konsep asas, mangsa skim cepat kaya akan berkurangan dan bertambahnya jumlah individu yang celik kewangan akan membina masyarakat yang lebih berpenge­tahuan dan negara celik kewangan,” katanya.

Perdana Menteri berkata, de­ngan semua idea ini adalah pen­ting untuk kekal relevan dari segi infrastruktur dan pengetahuan agar dapat berkembang maju dalam dunia tanpa sempadan. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN