Belanjawan 2019: Harapan pekerja berkemahiran - Utusan Malaysia

Belanjawan 2019: Harapan pekerja berkemahiran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAJET 2019 yang akan diumumkan pada 2 November 2018 oleh YAB Tun Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia walaupun di lihat “belanjawan sukar” dan juga “tiada janji manis” tetapi diharapkan tidak menjejaskan usaha pembangunan modal insan berkemahiran yang menjadi tonggak utama pembangunan ekonomi negara.

Dalam hal ini. Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (PKPB) menaruh harapan agar belanjawan kali ini banyak memfokuskan kepada soal meningkatkan kemahiran pekerja tempatan dan mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.

Terdapat lima (5) harapan PKPB yang boleh dikongsikan iaitu:

Memuatkan artikel berkaitan…

PERTAMA: Kebergantungan kepada Pekerja Asing boleh di kurangkan apabila Industri/Majikan bersedia untuk mengalihkan bayaran Levi Pekerja Asing (contoh Sektor Perkilangan RM1,850/setahun) dengan membayarkan pinjaman latihan kemahiran lulusan TVET. Dengan cara ini, faedah yang akan diperolehi ialah:

  • MAJIKAN membantu kesejahteraan ekonomi pekerja, penajaan dan ikatan kontrak untuk suatu tempoh yang dipersetujui dengan pekerja
  • PEKERJA tidak terbeban dengan bayaran balik pinjaman latihan kemahiran, jaminan peluang penempatan pekerjaan, mendapat persijilan terhadap kemahiran yang diterima
  • PERBADANAN TABUNG PEMBANGUNAN KEMAHIRAN mempunyai dana yang cukup melalui pembayaran balik yang cepat dalam tempoh yang singkat

KEDUA: Pembaziran dan pertindihan urustadbir Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) membabitkan 7 kementerian perlu di noktahkan. Malaysia memerlukan satu kerangka halatuju TVET yang BARU dan JELAS dan dikuatkuasakan serta-merta dengan hanya menggunapakai satu badan akreditasi latihan iaitu Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dan satu badan pengiktirafan professional iaitu Lembaga Teknologis Malaysian atau Malaysia Board of Technologist (MBOT).

KETIGA: Kaedah “Apprenticeship” yang diterajui industri perlu digerakkan berskala besar dan bersifat mesra kepada industri dengan mengurangkan karenah birokrasi di pihak kerajaan dalam aspek urustadbir dan penyampaian latihan.

KEEMPAT: Perlaksanaan Kerjasama Awam-Swasta atau Public-Private Partnership amat diperlukan dalam penyampaian latihan TVET. Bidang kemahiran yang memerlukan pelaburan sederhana ke bawah boleh dilaksanakan melalui Konsep 3P manakala bidang kemahiran berteknologi tinggi dilaksanakan oleh institusi awam.

KELIMA: Dana untuk bantuan pinjaman latihan kemahiran di bawah Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) perlulah:

  • Ditingkatkan kepada RM1bilion setahun dimana 80% hendaklah di fokuskan kepada lepasan sekolah menengah
  • Menghapuskan sistem kuota sebaliknya dibuka sepenuhnya permohonan pinjaman latihan kemahiran kepada mereka yang ingin mendapatkan latihan TVET
  • Tiada lagi “double-standard” di antara institusi awam dan swasta di mana semua pelajar aliran TVET hendaklah membuat pinjaman

Isu TVET telah dibangkitkan beberapa kali di Sidang Dewan Rakyat dan PKPB melihat kerajaan perlulah mengambil TINDAKAN SERTA-MERTA dan MEMUKTAMADKAN permasalahan ini agar industri tidak terus terkesan dengan kegagalan mendapatkan tenaga kerja mahir di kalangan rakyat tempatan.

RIZAN HASSAN

Setiausaha Agung Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini