KUALA TERENGGANU – Seorang bekas Pengurus Pembangunan Perniagaan Terengganu Safety Training Centre Sdn. Bhd. yang merupakan anak syarikat milik kerajaan negeri Terengganu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 138 pertuduhan membabitkan tuntutan palsu dan menerima suapan berjumlah kira-kira RM2.7 juta.
Tertuduh, Ihsham Shah Chandran Abdullah, 60, membuat pengakuan tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rofiah Mohamad.
Berdasarkan pertuduhan, lelaki terbabit didakwa mengemukakan sebanyak 104 tuntutan palsu yang dianggarkan berjumlah RM2.2 juta sedangkan program-program tersebut sebenarnya tidak wujud.
Tertuduh turut berdepan 34 pertuduhan melibatkan salah laku rasuah kerana didakwa menerima suapan berjumlah RM500,000. Perbuatan itu dilakukan antara tahun 2014 hingga 2017 membabitkan dua lokasi berbeza di Kemaman, Terengganu dan Batu Gajah, Perak.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Seskyen 17 (a) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi dan penjara maksimum 20 tahun jika sabit kesalahan.
Kosmo! pada 23 Februari lalu melaporkan seorang pengurus pembangunan perniagaan di sebuah anak syarikat milik kerajaan negeri Terengganu bersama isteri direman di Mahkamah Majistret Kemaman bagi membantu siasatan kes salah guna kuasa dan rasuah. – K! ONLINE











