Bekas pengarah syarikat dituduh pecah amanah RM8.6 juta - Utusan Malaysia

Bekas pengarah syarikat dituduh pecah amanah RM8.6 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU – Seorang bekas pengarah eksekutif sebuah syarikat dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tujuh pertuduhan melakukan pecah amanah membabitkan wang syarikat miliknya berjumlah lebih RM8.6 juta, antara 2008 hingga 2014.

Tertuduh, See Chou Shon, 59, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan itu dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Aizatul Akmal Maharani.

Mengikut kesemua pertuduhan,  Chou Shon sebagai pengarah syarikat Superplas Teknology Sdn. Bhd. didakwa dengan curang membuat pembayaran dana syarikat ke akaun RHB Bank miliknya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Perbuatan itu didakwa dilakukan lelaki itu di syarikat berkenaan di No. 3, Jalan Penaga 9, Seri Alam membabitkan RM8,683,166.46 antara 16 Disember 2008 hingga 1 Januari 2014.

Chou Shon dituduh mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat serta denda.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Farhana Adham manakala tertuduh diwakili peguam bela, G. Ravi.

Aizatul Akmal kemudiannya menetapakan wang jaminan sebanyak RM250,000 ke atas Chou Shon dengan seorang penjamin selain pasportnya ditahan sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 21 November ini sebagai tarikh pengurusan kes. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini