PUTRAJAYA – Mahkamah Majistret di sini membebaskan bekas Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.
Majistret Joanne Tan Xin Ying menawarkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin terhadap pegawai kanan berusia 56 tahun berpangkat Senior Asisten Komisioner untuk membantu siasatan yang dilakukan SPRM.
Menurut sumber, beliau yang kini bertugas di bahagian Pentadbiran Dasar dan Sumber Manusia, Jabatan Pengurusan, Bukit Aman disyaki telah meminta dan menerima wang rasuah antara Ogos 2017 sehingga Ogos lalu sebagai dorongan tidak mengambil tindakan terhadap seorang anggota polis berpangkat koperal yang mengambil upah dalam urusan pengurangan saman serta kesalahan trafik.
Terdahulu, beliau tiba di Mahkamah Majistret di sini pada pukul 9.30 pagi memakai baju kemeja biru dengan tangan bergari.
Pada 25 Oktober lalu beliau ditahan pada pukul 7.10 malam di Ibu Pejabat SPRM selepas hadir memberi keterangan berhubung siasatan kes rasuah berjumlah lebih RM100,000.
Esoknya beliau direman dan tempoh reman tersebut berakhir hari ini. – K! ONLINE










