Bekas pemain Selangor rayu bantuan - Utusan Malaysia

Bekas pemain Selangor rayu bantuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 24 Okt. – Bekas pemain bola sepak Selangor, Mohd. Fareed Shah Hassan, 39 merayu bantuan orang ramai bagi meringankan beban penyakit usus yang ditanggung sejak tiga tahun lalu.

Akibat dua pembedahan usus yang dijalaninya, bekas pemain The Red Giants itu kini tidak mampu melakukan kerja-kerja berat dan memenatkan.

Bapa kepada dua orang cahaya mata itu memberitahu, kekangan kesihatan yang ditanggung menyebabkannya hilang punca pendapatan untuk menyara kehidupan keluarga.

Katanya, setiap bulan dia memerlukan kira-kira RM1,500 bagi menampung perbelanjaan harian dan keperluan sekolah anak-anak, tidak termasuk kos ubat-ubatan yang perlu dibeli di farmasi.

“Selepas pembedahan pertama pada tahun 2015, saya masih bekerja sebagai pemandu teksi namun pendapatan sebanyak RM20 hingga RM30 sehari tidak dapat menampung kami sekeluarga sehingga terpaksa meminta bantuan daripada ayah.

“Bagaimanapun pada bulan lepas saya terpaksa menjalani pembedahan usus sekali lagi kerana tampalan pembedahan terbuka. Situasi ini sangat sukar buat kami sekeluarga,” luahnya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Terdahulu, wakil Kelab Kebajikan dan Sukarelawan Sosial (Kelss), Shah Noor Suhaida Ahmad menyampaikan sumbangan keperluan asas bagi meringankan beban keluarga tersebut.

Mohd. Fareed yang pernah bermain dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 1998 itu berkata, masalah kewangan yang ditanggung juga menyebabkan yuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) anaknya sebanyak RM80 setahun terpaksa ditangguhkan.

“Saya khuatir masalah ini akan memberi kesan kepada pembelajaran anak saya kerana dia berkemungkinan tidak akan diberi buku teks sehingga yuran PIBG dijelaskan.

“Sebagai bekas pemain bola sepak negeri dan mempunyai Sijil Kejurulatihan Lesen C saya harap akan diberi peluang pekerjaan dalam bidang latihan sukan itu,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN