KUALA LUMPUR – Seorang bekas jurulatih terjun kebangsaan yang dilepas dan dibebaskan April lalu atas pertuduhan merogol seorang atlet terjun diperintahkan membela diri oleh Mahkamah Tinggi di sini sebentar tadi atas pertuduhan itu.
Hakim Datuk Azman Abdullah memutuskan demikian selepas mendapati Hakim Mahkamah Sesyen telah terkhilaf dalam membuat keputusan melepas dan membebaskan Huang Qiang, 36,.
Dalam penghakimannya, Azman berkata Mahkamah Tinggi membuat keputusan itu selepas meneliti kesemua alasan penghakiman serta meneliti keterangan saksi-saksi dan rakan-rakan mangsa.
“Ini kerana di dalam WeChat saksi-saksi pendakwaan (SP) iaitu SP5, SP6, SP7, dan SP8 adalah saksi yang boleh diterima sebagai keterangan ‘similar fact’ (fakta yang sama) dan tidak memperjudiskan kes terhadap tertuduh selaku responden. Dengan ini mahkamah membenarkan rayuan pihak pendakwaan selaku perayu dan memerintahkan untuk tertuduh membela diri,” kata Azman yang turut memerintahkan kes tersebut dipindahkan semula ke Mahkamah Sesyen.
Dalam prosiding itu pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Aznika Mohd. Anas manakala tertuduh diwakili peguam Mohd. Hisham Md. Nen. – K! ONLINE










