BDS Malaysia kesal Oman terima kunjungan PM Israel - Utusan Malaysia

BDS Malaysia kesal Oman terima kunjungan PM Israel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 27 Okt. – Boycott, Divestment & Sanctions (BDS) Malaysia menyifatkan tindakan Oman menerima kunjungan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu sebagai sesuatu yang sangat memalukan dan mengecewakan.

PROF. Dr. MOHD. NAZARI ISMAIL
PROF. Dr. MOHD. NAZARI ISMAIL 

Pengerusinya, Prof. Mohd. Nazari Ismail berkata, keputusan mana-mana negara untuk menjadi tuan rumah bagi lawatan Netanyahu aalah satu tindakan yang benar-benar tercela, menjijikkan dan patut dikutuk, terutama negara tersebut adalah sebuah negara Arab dan Islam.

Menurut beliau, dasar normalisasi hubungan dengan Oman dan negara-negara Teluk akan dijadikan bukti seolah-olah polisi aparteid dan penindasan oleh Israel terhadap rakyat Palestin tidak wujud atau diterima tanpa protes oleh negara-negara Arab yang berjiran dengannya.

“Jika ketakutan terhadap Iran yang mendorong Oman dan negara-negara Teluk lain untuk berbaik-baik dengan Israel, kerajaan negara-negara tersebut sepatutnya menyingkap balik sejarah untuk mengenali hakikat negara Israel.

“Lupakah mereka akan peristiwa Nakba 1948, Perang Suez 1956, perang 1967, pencerobohan tahun 1982 di Lebanon? Lupakah mereka bahwa semua di atas adalah bukti kemampuan Israel untuk menceroboh negara lain termasuk negara jiran Arabnya?” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Hari ini, agensi-agensi berita asing melaporkan kenyataan daripada Pejabat Perdana Menteri Israel bahawa Netanyahu telah mengadakan kunjungan mengejut ke Oman semalam atas jemputan Sultan Qaboos bin Said.

Israel dan Oman tidak mempunyai hubungan diplomatik dan kali terakhir pemimpin kedua-dua negara bertemu adalah pada 1996.

Mohd. Nazari menambah, semua pihak sepatutnya sedar bahawa tindakan jenayah oleh rejim Zionis Israel tidak akan berakhir semata-mata kerana negara-negara Teluk sanggup berbaik dengan negara tersebut.

“BDS Malaysia sekali lagi menggesa Oman dan negara-negara Teluk lain untuk terus tidak mempunyai sebarang diplomatik atau sebarang hubungan dengan negara aparteid Zionis dan mengekalkan segala usaha untuk mengasingkan Israel di peringkat antarabangsa,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN