PULAU PINANG 20 Okt. – Luluh hati seorang bapa apabila ternampak sekujur tubuh anaknya tertimbus di dalam runtuhan tanah dalam kejadian tanah runtuh di Jalan Bukit Kukus dekat Paya Terubong di sini petang semalam.
Asman Hamid, 62, yang turut serta bersama pihak bomba mencari mangsa bagaikan tergamam apabila melihat anaknya, Samsul, di bawah runtuhan tanah itu.
Selepas berjaya mengeluarkan mayat anak ketiga daripada empat beradik itu, Asman terus mengikut pihak polis menghantar jenazah anaknya ke Hospital Pulau Pinang (HPP).
Menurut ibu saudara mangsa yang dikenali sebagai Ramsiah, 46, Samsul yang sebelum ini tinggal bersama neneknya di Bau-bau dekat Buton Tengah di Sulawesi, Indonesia baru tiga bulan bekerja di negara ini.
“Bapa dan ibunya yang dikenali sebagai Rosmiati menetap di sini sejak puluhan tahun lalu manakala Samsul tinggal di kampung bersama neneknya sebelum datang ke sini selepas tamat sekolah menengah.
“Sebaik dimaklumkan mengenai kejadian itu, ibu dan bapanya yang menetap di Sungai Nibong bergegas ke tempat kejadian sebelum bapanya membantu pihak bomba mencari anaknya,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik HPP di sini hari ini.
Sementara itu, isteri salah seorang mangsa yang dikenali sebagai Bahtiar, Wa Irri, 36, beberapa kali pengsan ketika menunggu proses pengecaman mayat suaminya di HPP.
Dia yang mengandung anak kedua dan turut cedera dalam kejadian itu sebelumnya dibenarkan keluar dari wad untuk membuat pengecaman, namun dihantar semula ke Jabatan Kecemasan apabila pengsan.
Dalam pada itu, salah seorang mangsa, Attarul Mohamad, 35, yang terbunuh dalam kejadian tanah runtuh tersebut berhajat untuk membuat kenduri di kampung halamannya di Joshur Gokurghaca, Bangladesh.
Bapa saudaranya, Mohamad Abdul Kalam, 45, berkata, mangsa memaklumkan hajatnya itu kepada isterinya sebagai tanda syukur selepas dia berjaya memiliki pasport dan dapat bekerja secara sah di Malaysia.









