Dengan pengurangan perolehan berikutan daripada penggantian GST kepada SST, kerajaan perlu memikirkan sumber perolehan baharu, termasuk penambahan kutipan cukai korporat.
Majlis Perundingan Melayu (MPM) hanya ingin mengsyorkan satu saja langkah jangka pendek yang wajar dipertimbangkan oleh kerajaan dan ia boleh dilaksanakan segera. Langkah yang dimaksudkan ialah menambah bilangan syarikat (terutama Industri Kecil dan Sederhana – IKS dan mid-tier corporations) yang mampu-bayar cukai korporat.
Tatkala Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) memikirkan pelbagai usaha meningkatkan keusahawanan dalam kalangan generasi muda, pada masa yang sama fokus hendaklah diberikan juga kepada usaha dan kaedah untuk menjadikan sebanyak mungkin IKS dan mid-tier corporations sebagai pembayar cukai korporat yang produktif dan bukan sekadar pembayar cukai.
Bila bercerita mengenai kemampuan syarikat-syarikat terutama IKS dan mid-tier corporations membayar cukai korporat yang produktif, teringat saya cerita kegawatan kewangan global 2007-2008 yang menyebabkan banyak negara di dunia terkesan daripada kegawatan itu.
Kebetulan pada masa itu saya banyak berurusan di Singapura, maka saya berkesempatan mengikuti dengan dekat bagaimana negara itu mengharungi kegawatan kewangan ketika itu. Salah satu pendekatan menarik yang diambil oleh negara itu ialah pembentukan kerjasama antara pemain industri dengan bank perdagangan dan Monetary Authority of Singapore (MAS), agensi kewangan menyamai Bank Negara Malaysia (BNM).
Semasa kegawatan itu kebanyakan cabang industri terutamanya pembinaan, hartanah malah pengilangan, tidak mampu meneruskan bisnes masing-masing. Syarikat-syarikat hartanah dan pembinaan yang mempunyai kemudahan bank yang belum digunakan disaran menggunakannya untuk melakukan aktiviti perdagangan.
Mereka tidak mempunyai kepakaran dalam bidang itu maka terpaksa ‘meminjam’ kepakaran perdagangan daripada firma perdagangan lain dan menggunakan dana yang belum digunakan bagi menjalankan bisnes perdagangan.
Syarikat-syarikat terbabit dalam pembuatan pula menggantung aktiviti pembuatan masing-masing dan memikirkan kaedah bagaimana melupuskan stok-stok pengilangan yang ada untuk mencairkan aset masing-masing, termasuk melakukan barter trade dengan negara lain yang memerlukan produk mereka.
Seterusnya memperdagangkan pula komoditi yang diperolehi hasil daripada barter trade itu ke negara lain. MAS dan bank-bank perdagangan mereka banyak membantu syarikat-syarikat itu dalam menjalankan urusan perdagangan mereka. Kesannya, negara berkenaan mampu cepat keluar daripada kegawatan kewangan itu berbanding dengan kebanyakan negara lain, termasuk negara kita.
Maka saya terfikir, jika benar kerajaan kekurangan perolehan dan perlu bertindak pantas mengatasi kemelut ini, apakah tidak boleh Kementerian Kewangan (MOF), MED, MITI, BNM dan bank-bank komersial merancakkan usaha secara bersama dalam memudah-cara dan mengislahkan sebanyak mungkin IKS dan mid-tier corporations, untuk menjalankan bisnes berasaskan perdagangan, terutama perdagangan ekspot dan perdagangan global.
Perdagangan global maksudnya menjalankan perdagangan antara negara menerusi pelantar-pelantar perdagangan yang berpangkalan di Malaysia. Jika Alibaba boleh lakukannya mengapa tidak digalakkan pedagang-pedagang tempatan melakukan perkara yang sama.
Bila bercerita faktor pendorong, izinkan saya kaitkan cerita ini dengan keadaan semasa di negara kita. Salah satu faktor pendorong yang membangkitkan semangat warga Korea Selatan untuk bersaing dengan warga Jepun ialah kata-kata semangat bekas pemimpin mereka ketika itu (awal era 1970-an), iaitu Presiden Park Chung-hi, yang sering mencabar warga Korea dengan kata-kata, “Jika orang Jepun boleh lakukan, kita orang Korea boleh lakukan jauh lebih baik”.
Cabar diri
Jika demikian, mengapa tidak rakyat Malaysia cabar diri sndiri: “Jika jiran kita itu mampu lakukan yang baik mengapa tidak kita lakukan jauh lebih baik daripada mereka”.
Saya pernah suarakan cabaran seperti ini tetapi ditegur kerana membandingkan negara jiran dengan negara kita, seolah-olah kita ini teruk sangat. Saya pun tak faham mengapa saya ditegur.
Hari ini pun saya lihat negara jiran kita itu melakukan lagi banyak perkara yang jauh lebih baik daripada kita. Jika terus dibiarkan, mereka akan lebih jauh meninggalkan kita dalam persaingan serantau dalam banyak bidang kehidupan, terutamanya tadbir urus, ekonomi, pendidikan dan keselamatan. Fikir-fikirkanlah, salahkah jika kita mencabar diri kita dengan membandingkan kita dengan negara jiran itu.
Saya sekali lagi menyarankan kepada kerajaan supaya segera membangunkan ekosistem yang kondusif yang mampu melonjakkan ratusan ribu IKS dan mid-tier corporations menjadi syarikat yang progresif dan berdaya-saing dan akhirnya mampu menjadi pembayar cukai korporat yang produktif, iaitu nilai cukai korporat yang substantif.
Saya penuh yakin dengan kepimpinan baru di Kementerian Pembangunan Usahawan. Kementerian ini mampu menerajui usaha ini iaitu usaha melahirkan ratusan ribu IKS dan mid-tier corporations berdaya-maju yang mampu menjadi pembayar cukai korporat yang produktif.
Pun begitu, MOF wajiblah membantu MED dalam mewujudkan ekosistem kewangan yang kondusif manakala MITI mewujudkan ekosistem perdagangan yang kompetitif. Kita mampu lakukannya. Maka, menjelang pembentangan Belanjawan 2019 pada 2 November 2018 ini, kita semua ingin mendengar sesuatu yang baharu daripada kerajaan baharu ini, untuk kita sama-sama berada di ambang yang baru.
* Penulis ialah Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM).










