MEXICO CITY 26 Okt. – Lewis Hamilton memberi amaran menjelang Grand Prix Mexico hujung minggu ini apabila menegaskan banyak lagi yang mampu diraih dalam Formula Satu (F1).
Pemandu Mercedes dari Britain itu juga menegaskan, berjaya merangkul kejuaraan dunia kelima akan menjadi detik paling membanggakan dalam kariernya, dan dia bersedia merealisasikan impian tersebut di Mexico.
Hamilton, 33, hanya perlu menamatkan perlumbaan Ahad ini di tangga ketujuh untuk mengetepikan Sebastian Vettel dari Ferrari.
“Merangkul kejuaraan sentiasa menjadi sasaran utama saya.
“Saya masih ingat ketika kali pertama muncul juara (2008), ia sangat hebat. Beberapa bekas juara beritahu saya, hendak memenangi kejuaraan kedua lebih sukar daripada yang pertama dan saya akui, ia memang sukar.
“Sekalipun anda berjaya memperbaiki jentera, persaingan juga semakin meningkat serta kompetitif. Namun, tahun ini antara musim paling menyeronokkan buat saya.
“Jika saya memenangi kejuaraan dunia kelima di sini, ia adalah detik paling membanggakan.
“Ya, saya semakin tua tetapi perkara seperti ini memang sering berlaku. Apabila anda semakin tua, anda lebih bersemangat. Saya percaya, banyak lagi yang boleh saya raih dalam sukan ini,” kata Hamilton. – AGENSI










