Bantu rakyat teruskan kelangsungan hidup - Utusan Malaysia

Bantu rakyat teruskan kelangsungan hidup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAJIAN Literasi Kewangan Malaysia dalam talian yang dilancarkan RinggitPlus menunjukkan rakyat Malaysia tidak menabung dengan secukupnya. Kajian yang membabitkan 3,000 responden itu mendapati 30 peratus daripadanya mengakui bahawa mereka tidak mempunyai simpanan untuk bertahan lebih daripada sebulan.

Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu, gaji yang secara relatifnya masih rendah dan berlaku pula peningkatan kos sara hidup secara drastik, keputusan ini tidaklah begitu mengejutkan. Tetapi jelas persekitaran corak kehidupan seperti ini cukup membimbangkan.

Hasil kajian ini sepatutnya membuka mata semua pihak supaya menyedari situasi kemampuan kewangan majoriti rakyat. Antara lain kajian ini juga menunjukkan sejumlah 29 peratus daripada responden tidak mempunyai simpanan mencukupi untuk bertahan selama tiga bulan sekiranya tidak memiliki pendapatan.

Dan lebih membimbangkan apabila dimaklumkan lebih daripada separuh responden tidak mampu untuk menabung lebih RM500 sebulan dengan 24 peratus menyatakan bahawa mereka tidak mampu untuk menabung. Malah 32 peratus responden lagi menyatakan bahawa mereka hanya mampu menabung kurang daripada RM500 sebulan.

Walaupun bilangan dan komposisi responden ini mungkin tidak mewakili keseluruhan penduduk negara ini namun ia memberikan satu gambaran dan nilai signifikan yang sangat mustahak untuk kita perhalusi dan ambil iktibar. Hakikatnya penulis boleh membayangkan inilah gambaran dan keadaan sebenar majoriti rakyat kita pada saat ini.

Golongan berpendapatan rendah dan sederhana (B40 dan M40) terutamanya boleh dikatakan kelompok yang paling terkesan dan boleh tergolong dalam kumpulan responden tersebut. Kalau kita membuat kajian terhadap kedua-kedua kumpulan ini kita percaya hasilnya nanti akan lebih menyedihkan dan membimbangkan.

Jadi, besarlah harapan kita kepada pihak kerajaan agar dapat melakukan inisiatif yang sewajarnya untuk membantu majoriti rakyat kita yang semakin dihimpit dengan beban kewangan supaya dapat meneruskan kelangsungan hidup masing-masing.

Hal ini penting kerana situasi semasa menunjukkan kehidupan sebahagian besar anggota masyarakat cukup kritikal dan memerlukan bantuan dan campur tangan kerajaan. Inilah masanya untuk kerajaan baharu ini mengambil peluang memulakan inisiatif baru bagi merancakkan kembali sektor ekonomi negara supaya dapat membantu meningkatkan pendapatan boleh guna rakyat.

Masalah utama sekarang ialah golongan berpendapatan rendah dan sederhana terlalu sukar untuk menikmati aliran tunai yang diperlukan untuk survival kehidupan mereka. Perkara ini berlaku kerana gaji yang diperoleh tidak mampu menampung dan tidak setimpal dengan kenaikan harga barang serta kos sara hidup yang secara keseluruhannya meningkat secara mendadak. Justeru jika mahu membantu rakyat, masalah asas ini perlu ditangani terlebih dahulu.

Peningkatan kos sara hidup jelas semakin menghimpit kehidupan rakyat. Mungkin ini harga yang perlu kita bayar untuk menjadi sebuah negara maju tapi harus diingat apa guna kita mendapat status negara maju andai majoriti rakyat masih hidup papa kedana.

Penulis percaya majoriti rakyat meletakkan harapan cukup tinggi kepada kerajaan yang baru dipilih terutamanya yakin dengan kemampuan dan pengalaman luas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang pernah mengharungi masalah kegawatan ekonomi sebelum ini serta berjaya membantu menyelamatkan kedudukan negara dan ekonomi pada ketika itu.

Jadi perlu ada usaha untuk menstabilkan pasaran kerja dan guna tenaga di negara ini. Di samping usaha-usaha untuk menambah peluang pekerjaan yang menawarkan gaji yang lebih menarik, perlu juga memastikan kemasukan pekerja asing dapat dikawal dengan lebih berkesan dengan harapan dapat ditiadakan terus satu hari nanti.

Dalam pada itu usaha untuk merancakkan kembali semua sektor ekonomi juga perlu digerakkan secara drastik dan bersepadu. Kerajaan perlu terus meyakinkan para pelabur luar agar dapat meningkatkan pelaburan langsung asing (FDI) di samping terus menuntut sumbangan dan bantuan pelaburan swasta dan korporat tempatan.

Pada masa sama usaha-usaha untuk mengembangkan hasil buatan dan produk tempatan juga perlu diberi perhatian. Hal ini kerana masyarakat luar bandar terutamanya yang berkecimpung dalam industri ini secara kecil-kecilan akan mendapat manfaat langsung jika industri desa dapat dibangunkan dengan lebih berkesan. Untuk itu penulis mencadangkan kerajaan kembali melaksanakan kempen “Beli Barangan Buatan Malaysia”. Dengan ini aliran keluar wang negara juga dapat dikawal dengan baik.

PENULIS ialah Timbalan Pendaftar Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN