Bank Rakyat, MAIDAM kerjasama bangun projek wakaf - Utusan Malaysia

Bank Rakyat, MAIDAM kerjasama bangun projek wakaf

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 31 Okt. – Bank Rakyat baru-baru ini menandatangani Perjanjian Usahasama Strategik Dana Wakaf dengan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) bagi menjayakan projek wakaf di negeri itu.

Perjanjian ini adalah sebahagian daripada inisiatif projek myWakaf yang diterajui oleh Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) hasil usahasama dengan enam buah institusi perbankan Islam di negara ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Usahasama myWakaf memfokuskan kepada pembangunan projek wakaf dalam empat sektor iaitu pemerkasaan ekonomi, pendidikan, kesihatan dan pelaburan.

Bank Rakyat mengenal pasti pusat hemodialisis di Kuala Terengganu sebagai projek wakaf pertama bersama MAIDAM dengan anggaran keseluruhan kos berjumlah RM780,000.

Pengarah Urusan yang juga Presiden Bank Rakyat, Datuk Zulkiflee Abbas Abdul Hamid berkata, jalinan kerjasama yang dimaterai pada hari ini adalah inisiatif Bank Rakyat dalam memberi balik manfaat kepada masyarakat.

“Pada masa yang sama kita dapat memaksimumkan kutipan wakaf serta memberi tumpuan kepada pembangunan projek berimpak tinggi,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua MAIDAM, Datuk Osman Muda menambah Inisiatif seperti ini diharap dapat memperkukuh peranan wakaf dalam menjana ekonomi, meringankan beban golongan yang kurang berkemampuan serta meningkatkan taraf pendidikan dan kesihatan umat Islam khususnya di Terengganu.

Presiden AIBIM, Datuk Adissadikin Ali dalam ucap tahniahnya kepada Bank Rakyat turut menekankan, inisiatif myWakaf ini mampu menjadi pemangkin sosioekonomi dengan penyediaan saluran kutipan dana wakaf yang lebih efektif melalui institusi Islam yang terlibat serta memberi pendekatan yang lebih telus dan kod tadbir urus yang mampu memberi keyakinan kepada pewakaf. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini