KUALA LUMPUR 5 Okt. – Kira-kira 300 pelajar dan kakitangan Sekolah Menengah Arab At-Taqwa, Felda Chiku 2, Gua Musang kini boleh menikmati bekalan air bersih menerusi pemasangan Sistem Penapisan Air Ultra Mudah Alih Berkuasa Solar yang disumbangkan oleh Bank Islam Malaysia Bhd. (Bank Islam) dan Universiti Malaya (UM), baru-baru ini.
Pemasangan sistem penapisan air canggih yang dihasilkan oleh pasukan penyelidik UM yang diketuai oleh Prof. Dr. Mohd Azlan dan Prof. Mohamed Kheireddine Aroua dari Jabatan Kejuruteraan Kimia itu dijangka mampu menampung sejumlah 700 liter air bersih pada setiap jam.
Ketua Pejabat Wilayah Timur Bank Islam, Wan Rosita Wan Mohamed berkata, penggunaan tenaga solar sebagai punca tenaga utama selain set generator membuatkan sistem ini
sesuai digunakan di kawasan pedalaman.
Beliau memberitahu, dengan pemasangan sistem penapisan ini, pihak pengurusan sekolah dapat menjimatkan kos perbelanjaan air kerana sistem ini secara automatiknya mampu mengekstrak dan menapis air dari sumber semula jadi.
“Walau bagaimanapun, penting untuk kita mengingati bahawa sumber air adalah terbatas dan menjadi tanggungjawab semua untuk memastikan penggunaan air dengan bijak serta mengelakkan pembaziran sumber yang berharga ini,” katanya ketika berucap dalam majlis penyerahan Sistem Penapisan Air Ultra Mudah Alih Berkuasa Solar kepada Sekolah Menengah Arab AtTaqwa, Felda Chiku 2, Gua Musang baru-baru ini.
Pada majlis yang sama Bank Islam juga mengagihkan dana zakat sejumlah RM7,500 kepada 50 pelajar.
Wan Rosita memberitahu, sumbangan ini adalah sebahagian daripada inisiatif amal bagi membantu kemajuan sosio-ekonomi masyarakat setempat serta memberi kesan positif terhadap alam sekitar.
Projek ini katanya adalah bertujuan untuk menggalakkan kesan positif yang berterusan kepada masyarakat luar bandar dengan meningkatkan kualiti dan sumber air bersih, yang kemudiannya boleh membawa kepada peningkatan keadaan kebersihan di sekolah tersebut. – UTUSAN ONLINE











