PULAU PINANG 24 Okt. – Lebih 100 orang daripada 25 buah keluarga di Teluk Kumbar di sini, terpaksa dipindahkan selepas rumah mereka dinaiki air sedalam paras satu meter ekoran hujan lebat awal pagi ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri, Phee Boon Poh berkata, kesemua mereka dipindahkan ke pusat pemindahan banjir di Sekolah Kebangsaan Teluk Kumbar (SKTK) bermula pukul 11 malam.
“Mangsa terdiri daripada 60 orang dewasa dan 28 kanak-kanak serta seorang bayi lelaki. Sehingga pagi ini, semua mereka masih berada di pusat pemindahan, namun keadaan banjir sudah semakin surut dan mereka dijangka boleh pulang semula hari ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Tambahnya, seramai 12 mangsa banjir kilat di Titi Teras, Balik Pulau turut ditempatkan di pusat pemindahan sementara di Sekolah Kebangsaan Titi Teras selepas terjejas banjir ekoran hujan lebat petang semalam.
Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) negeri menasihatkan orang awam yang melalui Jalan Bayan Lepas ke Balik Pulau supaya berhati-hati kerana berlaku kejadian tanah runtuh.
“Laluan yang terlibat dengan kejadian tanah runtuh dianggarkan sepanjang 80 meter dan kejadian itu berlaku pada kira-kira pukul 5.45 petang semalam ekoran hujan lebat,” katanya di sini.
Sehubungan itu, beliau menggesa pengguna menggunakan Jalan Tun Sardon di sini sebagai laluan alternatif.











